CHONG Wei seorang saja yang mempunyai sifat juang tinggi. FOTO/OSMAN ADNAN
CHONG Wei seorang saja yang mempunyai sifat juang tinggi. FOTO/OSMAN ADNAN
Helmi Talkah


MALAYSIA perlu menerima hakikat betapa hanya Datuk Lee Chong Wei yang mempunyai watak sebagai seorang pejuang berbanding pemain badminton lain sama ada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau yang bergerak secara profesional.

Bekas pemain perseorangan negara, Rashid Sidek berkata, situasi itu memberikan kesukaran buat jurulatih untuk menyenaraikan pemain bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari depan yang juga pusingan kelayakan Piala Thomas 2018.

“Saya fikir semua orang boleh lihat sendiri, hanya Chong Wei yang benar-benar ada watak sebagai pejuang ketika di atas gelanggang. Yang lain semuanya belum capai tahap seperti Chong Wei.

“Untuk memilih pemain terutama pemain perseorangan, saya fikir jurulatih perlu lihat semua aspek... antara yang paling penting adalah pengalaman pemain. Bermain dalam kejohanan berpasukan tidak sama seperti saingan individu dan tekanannya juga berbeza.

“Saya ambil contoh seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, dia ada pengalaman dan prestasinya juga baik sebelum mengalami kecederaan. Saya lihat dia sekarang bekerja keras untuk capai tahap terbaiknya selepas pulih daripada kecederaan,” kata Rashid ketika dihubungi, hari ini.

Chong Wei semalam berkata, faktor utama yang perlu diambil kira dalam memilih barisan pemain perseorangan lelaki bagi menghadapi kejohanan di Alor Setar adalah mereka yang memiliki perwatakan seorang pejuang.

Pemain nombor dua dunia itu, berkata tiada guna menyenaraikan pemain yang hanya sekadar mahu menempatkan diri dalam pasukan tetapi apabila diturunkan gagal memberikan tentangan sengit kepada pihak lawan.

Rashid memberitahu pemilihan pemain bagi menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga adalah cukup penting terutama apabila Malaysia berdepan perlawanan penentuan untuk meraih kemenangan.

“Apabila keputusan terikat 2-2, pemain perseorangan ketiga yang akan menjadi wira kemenangan atau punca kekalahan. Jadi, penting untuk kita menilai sebaik-baiknya siapa yang layak untuk menggalas tugas itu.

“Jurulatih tidak boleh sambil lewa dalam isu pemilihan pemain kerana silap percaturan kita tidak akan layak ke pusingan akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 9:22 PM