RASHID akui Taiwan  lebih sukar kerana menyenaraikan pemain terbaik mereka.
RASHID akui Taiwan lebih sukar kerana menyenaraikan pemain terbaik mereka.
Helmi Talkah


TAIWAN dan Thailand mampu menjadi pemusnah kepada impian Malaysia untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, bulan depan berdasarkan kekuatan dimiliki kedua-dua pasukan itu.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek, berkata Taiwan mempunyai kekuatan seimbang dalam setiap kategori dan ia bakal menjadi ancaman besar buat skuad negara.

Selain Taiwan, Thailand dan Malaysia, Myanmar turut diundi dalam Kumpulan C pada kejohanan yang turut menjadi pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018 di Bangkok pada Mei ini.

“Kalau tengok ketiga-tiga pasukan (Taiwan, Thailand dan Malaysia) ada peluang yang sama rata sebenarnya. Namun, saya lihat Taiwan lebih sukar kerana menyenaraikan pemain terbaik mereka.

“Mereka ada Chou Tien Chen untuk perseorangan lelaki dan dua beregu Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin serta Lee Jhe Huei-Lee Yang yang mana semua adalah pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Kelebihan Thailand pula adalah dalam kategori beregu sambil mereka mengintai peluang untuk mencuri mata dalam perseorangan. Jadi, Taiwan dan Thailand pada bila-bila masa boleh menewaskan Malaysia,” kata Rashid.

Hanya empat pasukan terbaik dalam kejohanan di Alor Setar layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok. Thailand bagaimanapun sudah layak atas tiket selaku tuan rumah.

Mengulas lanjut, Rashid berkata status beregu kedua yang disandang Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu memberi kelebihan buat skuad negara.

“Itu memang satu kelebihan yang baik untuk Malaysia kerana boleh dikatakan 80 peratus sudah terjamin mereka mampu menyumbang mata.

“Dengan Datuk Lee Chong Wei dijangka tidak berdepan masalah untuk meraih mata, jadi mata disumbangkan V Shem-Wee Kiong sekurang-kurangnya boleh memastikan Malaysia meraih dua mata,” katanya.

Berdasarkan kedudukan ranking ketika ini, Teo Eei Yi-Ong Yew Sin yang menghuni tangga ke-21 dunia bakal menggalas tugas sebagai beregu pertama negara manakala V Shem-Wee Kiong (24) kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 10:29 PM