ALLARDYCE puji barisan serangan Reds. FOTO/AFP
ALLARDYCE puji barisan serangan Reds. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Everton yang baharu, Sam Allardyce memuji ‘kepintaran’ bahagian serangan Liverpool tatkala dia sedang mempersiapkan pasukan untuk pertembungan dengan barisan Jurgen Klopp dalam aksi jiran tetangga Merseyside, esok.

Allardyce akan berkunjung ke Anfield dengan membawa harapan untuk mengulangi prestasi ketika dia mengemudi Crystal Palace, April lalu - yang menyaksikan The Eagles bangkit daripada ketinggalan satu gol sebelum melakar kemenangan.

Namun, dia sedar dengan kekuatan kelompok jentera serangan Liverpool tatkala Klopp masih boleh bergantung harap kepada Philippe Coutinho, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino, pemain yang meledak jaringan ketika menewaskan Spartak Moscow 7-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, baru-baru ini.

“Kadangkala kamu hanya perlu mengangkat tangan dan memuji kepintaran pergerakan dan kualiti dimiliki pemain - kamu tidak boleh berkata, sekiranya kami mampu menghalang satu ataupun dua pemain ini, kami boleh mengekang Liverpool, ia lebih daripada itu pada saat ini, mereka mempunyai empat ataupun lima pemain hebat,” kata Allardyce.

“Ia sedikit sukar buat kami dan kemampuan penyudah mereka juga meningkat. Mereka tidak perlu bergantung kepada satu ataupun dua pemain untuk menjaringkan gol, jadi kami harus memastikan untuk cuba melakukan yang terbaik bagi mengatasinya.”

Allardyce memperoleh permulaan yang baik selaku jurulatih Toffees apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield Town, minggu lalu.

“Kami meraih kemenangan tahun lalu di Palace dan ia terhasil selepas ketinggalan satu gol,” katanya. “Saya perlu melihatnya semula, apakah yang perlu kami lakukan. Saya fikir, Liverpool bermain lebih baik hari ini tetapi ia boleh dilaksanakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 1:15 PM