Reuters

London: Liverpool berpeluang mengukuhkan kedudukan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara apabila berdepan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini ketika tiga daripada empat pasukan tangga teratas terbabit dalam pertembungan separuh akhir Piala FA.

Pasukan yang mampu mengambil kesempatan jika anak buah Juergen Klopp (gambar) melakukan kesilapan adalah pasukan tangga kelima Manchester United - tidak kalah dalam 22 perlawanan - yang berharap mampu melonjak apabila berdepan Burnley di Turf Moor.

Kemenangan tipis 1-0 di West Brom Ahad lalu menyaksikan Liverpool meningkat ke tangga ketiga dengan baki lima perlawanan buat Reds.

Pasukan Klopp tidak kalah dalam tujuh perlawanan dan pertahanan Dejan Lovren menyatakan mereka perlu mengekalkan persembahan konsisten itu menjelang hujung musim.

“Kami ada perkara besar untuk diraih - Liga Juara-Juara. Setiap orang mahukannya tapi jika anda mahu menjadi pasukan teratas, anda perlu terus bermain baik dalam setiap perlawanan,” ujar pemain kebangsaan Croatia itu.

Palace bagaimanapun menyaksikan kebangkitan di bawah bos Sam Allardyce dan sudah menemui permainan konsisten, meraih 13 mata daripada enam aksi terakhir untuk keluar dari zon penyingkiran.

Namun harapan mereka untuk meneruskan rentak baik mungkin terjejas dengan ketiadaan pertahanan tengah Perancis yang beraksi cemerlang ketika ini, Mamadou Sakho, yang tidak boleh beraksi kerana dia dipinjamkan ke kelab London itu dari Liverpool.

Kemenangan United ke atas Chelsea Ahad lalu mengembalikan keyakinan di Old Trafford bahawa anak buah Jose Mourinho boleh mencabar empat tangga teratas.

Burnley bagaimanapun tidak boleh dipandang remeh dan sekalipun mereka menghuni tangga ke-14 liga, mereka berada di tangga keenam dengan rekod terbaik di laman sendiri dan seri di Old Trafford awal musim ini.

Tiga daripada pemain Burnley - penjaga gol Tom Heaton, pertahanan Michael Keane dan pemain sayap Robbie Brady - adalah produk remaja United dan tampil untuk membuktikan sesuatu kepada kelab yang melepaskan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:30 AM