PEMAIN Barca menang dengan agregat 8-0 ke atas Real Murcia. FOTO/AFP .
PEMAIN Barca menang dengan agregat 8-0 ke atas Real Murcia. FOTO/AFP .
AFP

MADRID: Juara bertahan Barcelona mudah melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Raja Sepanyol dengan membelasah Real Murcia 5-0 di Camp Nou awal pagi tadi dengan melengkapkan kemenangan agregat 8-0.

Selepas mendahului 3-0 pada aksi pertama, pengurus Barca Ernesto Valverde membuat 10 pertukaran daripada pertembungan di Valencia Ahad lalu dengan Lionel Messi dan Luis Suarez antara yang direhatkan.

Paco Alcacer mengekalkan prestasi terbaiknya di depan gawang dengan gol keempatnya dalam kempen berkenaan apabila menanduk masuk hantaran Aleix Vidal pada minit ke-16.

Barca terpaksa menunggu sehingga 10 minit separuh masa kedua untuk menggadakan jaringan apabila kapten pasukan untuk perlawanan itu Gerard Pique meledak jaringan hasil hantaran Vidal.

Vidal kemudiannya turut merekodkan dirinya sebagai penjaring apabila menanduk masuk bola daripada Nelson Semedo.

Penyudah sempurna Denis Suarez dan Jose Manuel Arnaiz turut melengkapkan jaringan pasukan berkenaan.

PEMAIN Sevilla meraikan kemenangan selepas menewaskan Cartagena. FOTO/AFP
PEMAIN Sevilla meraikan kemenangan selepas menewaskan Cartagena. FOTO/AFP

Wissam Ben Yedder menjaringkan dua gol dalam tempoh enam minit terawal perlawanan ketika Sevilla menang mudah ke atas Cartagena 4-0 dan mencatat kemenangan agregat 7-0 biarpun tanpa jurulatih Eduardo Berizzo.

Berizzo menjalani pembedahan prostat semalam dengan tempatnya digantikan pembantunnya Ernesto Marcucci sehingga beliau pulih.

Paulo Henrique Ganso dan Joaquin Correa turut merekodkan jaringan untuk juara lima kali itu.

Sementara itu Lleida melakukan kebangkitan untuk keputusan mengejut Piala berkenaan dengan mengatasi defisit 2-0 pada malam itu dan 3-0 menerusi agregat untuk menyingkirkan Real Sociedad menerusi gol di tempat lawan.

Diego Llorente dam Juanmi meletakkan kelab La Liga itu di depan pada separuh masa pertama namun jaringan separuh masa kedua daripada Aitor Nunez, Manu Molina dan Bojan Radulovic memberikan Lleida kemenangan mutlak.

Kepulangan Gareth Bale turut membantu Real Madrid untuk mara ke kelompok 16 terbaik semalam biarpun terikat 2-2 di Santiago Bernabeu dengan Fuenlabrada hasil kemenangan agregat 4-2.

Celta Vigo, Leganes, Levante dan Numancia turut menempah slot ke aksi 16 terakhir .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 10:23 AM