MISBUN (kiri), Soon Kit sepatutnya ada senarai pemain  perseorangan lelaki dan dua gandingan beregu lelaki.
MISBUN (kiri), Soon Kit sepatutnya ada senarai pemain perseorangan lelaki dan dua gandingan beregu lelaki.
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menggesa agar ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek dan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit supaya menentukan siapa pemain yang akan beraksi di kelayakan dan pusingan akhir Piala Thomas.

Presiden BAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kedua-dua jurulatih itu sepatutnya sudah mempunyai bayangan awal mengenai pemain mana yang bakal beraksi di kejohanan berkenaan.

“Mereka seharusnya sudah tahu siapa tiga pemain untuk perseorangan lelaki dan dua gandingan beregu lelaki,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara hari ini.

Jelas Norza yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu, perancangan untuk persediaan Piala Thomas perlu bermula menjelang hujung tahun ini.

“Peranan kedua-dua ketua jurulatih ini sangat penting bagi membuat perhitungan sebelum hujung tahun ini memandangkan Piala Thomas akan diadakan tahun depan.

“Soon Kit juga masih menilai kedua-dua pasangan beregu (Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong dan Goh V Shem-Teo Ee Yi). Apa saja keputusan sama ada meneruskan gandingan ini atau ada perubahan perlu dilakukan secepat mungkin. Dalam masa sama beliau juga harus menilai gandingan lain seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sama ada perlu melakukan sedikit perubahan.

PEMAIN badminton negara gigih berlatih.  FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN badminton negara gigih berlatih. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR

“Apabila sudah mempunyai ranking, kita tidak boleh menukar lagi pasangan kerana bakal mendapat undian yang sukar dalam kejohanan lain termasuk bertemu gandingan dari negara gergasi seperti China. Mengenai aksi Yew Sin-Wee Kiong dan V Shem-Ee Yi mereka nampak meyakinkan di Terbuka Perancis namun di Terbuka Bitburger tidak mencapai sasaran seperti diharapkan,” kata Norza.

Ditanya mengenai prestasi Chong Wei yang kecundang awal di Terbuka Denmark dan Perancis bulan lalu, Norza mengaku sudah berbual dengan bekas pemain nombor satu dunia itu, semalam.

“Saya ada tanya kepadanya jika dia ada masalah dan dia memberitahu semuanya dalam keadaan baik. Saya tidak rasa dia tertekan tapi seperti yang saya beritahu sebelum ini kita sekarang ini dalam perancangan menjelang era tanpa Chong Wei. Kita akan lihat selepas ini bagaimana untuk mencari penggantinya.

“Buat masa sekarang dia masih lagi pemain perseorangan lelaki nombor satu negara. Tidak perlu memberi tekanan kepadanya, biar dia memilih kejohanan yang akan disertai. Selepas ini dia akan beraksi di Terbuka China dan Hong Kong.

“Dari segi fizikal dia tidak berdepan sebarang masalah mungkin sedikit tertekan takut kalah kepada pemain lain. Bagaimanapun, kita harus memberikan kekuatan kepadanya dan saya sendiri memberitahunya bahawa kami akan sentiasa memberi sokongan,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 10:43 PM