NORZA pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan serta pengumuman pemain ke Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia. Foto BERNAMA
NORZA pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan serta pengumuman pemain ke Piala Thomas di Akademi Badminton Malaysia. Foto BERNAMA
Ferzalfie Fauzi

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menegaskan skuad yang akan beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Thomas di Alor Setar, bulan depan bukan pasukan penumpang atau sekadar nasi tambah.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria sebaliknya yakin skuad yang diketuai jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei itu mampu menduduki kelompok empat pasukan terbaik seterusnya layak secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

“Itu sasaran kita, jika pemain yang terpilih memberikan persembahan terbaik serta fokus dan mempunyai ketahanan mental yang tinggi,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Seperti dijangka, Chong Wei dipilih mengetuai kempen skuad negara dengan tiga lagi perseorangan digalas Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain dan Soong Joo Ven, manakala cabaran dalam acara beregu dipikul Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Jawatankuasa C&T juga memberi peluang gandingan muda Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk beraksi dalam kejohanan dari 6 hingga 11 Februari itu.

Norza yang juga Pengerusi Jawatankuasa C&T, berkata pihaknya tidak mempunyai banyak masa untuk menukar pemain dalam tempoh sebulan ini dan menyifatkan pemain yang disenaraikan antara yang terbaik.

“Memang kita boleh berpandukan kepada ranking jika gagal layak secara merit tapi saya mahukan kita raih kedudukan empat terbaik, bukannya layak menggunakan pintu belakang (ranking). Biar orang kata memang kita layak untuk ke Piala Thomas, bukannya hanya ke sana sebagai penumpang ataupun nasi tambah,” kata Norza.

Mengenai pemilihan Joo Ven, Norza berkata, semuanya bergantung kepada kedudukan ranking dalaman yang diadakan setiap minggu.

“Setiap pemain diberi peluang menentang antara satu sama lain. Jadi ranking dalaman dan keputusan semasa selain kekuatan mental serta fizikal berkait rapat dengan pemilihan Joo Ven. Memang saya memberi mandat sepenuhnya kepada Datuk Misbun Sidek (ketua jurulatih perseorangan lelaki) membuat keputusan.”

Norza juga berharap Iskandar Zulkarnain yang sudah pulih daripada kecederaan turut menyinar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 7:30 PM