PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Bernama
PENGERUSI Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Bernama
Fabian Peter


SUSULAN prestasi buruk pada Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, bulan lalu, Datuk Seri Norza Zakaria mengambil keputusan melepaskan jawatannya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selepas mempengerusikan mesyuarat C&T di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Norza yang juga Presiden BAM menegaskan beliau mengambil tanggungjawab atas kegagalan kontinjen negara menepati sasaran yang diletakkan dan melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Datuk Ng Chin Chai.

"Seperti yang saya katakan di Bangkok, saya akan bertanggungjawab atas kegagalan skuad negara ke separuh akhir (Piala Thomas) dan suku akhir (Piala Uber).

"Saya sudah menjadi Pengerusi C&T sejak tiga tahun lalu, namun banyak lagi isu yang perlu diberi perhatian khususnya membabitkan pembaharuan dalam akademi dan membawa penaja baharu untuk BAM.

"Justeru, saya membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi C&T. Kami juga sudah memutuskan pengerusi baharu C&T adalah Datuk Ng Chin Chai," kata Norza.

Chin Chai sebelum ini pernah menjadi pengerusi jawatankuasa itu pada 2010 hingga 2013.

Mengulas lanjut, Norza mengharapkan Chin Chai akan terus bersama jurulatih dan pemain terutamanya ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah semakin hampir.

"Chin Chai adalah pengerusi baharu namun saya masih presiden. Saya sudah katakan kepadanya beliau perlu terus menggunakan pendekatan yang tegas dalam mengendalikan C&T dan mendekati jurulatih serta pemain.

"Saya doakan yang terbaik untuknya. Saya tahu beliau layak kerana berpengalaman mengendalikan C&T sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 9:15 PM