PENYOKONG Kedah mula beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket yang dijual di kaunter di Stadium Darul Aman. -Foto SHAHRIZAL MD NOOR
PENYOKONG Kedah mula beratur sejak awal pagi untuk mendapatkan tiket yang dijual di kaunter di Stadium Darul Aman. -Foto SHAHRIZAL MD NOOR
Firdaus Hashim


PERSATUAN Penyokong Lang Merah (LMFA) bercadang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelemahan sistem penjualan tiket final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pengerusi LMFA, Wan Syazwan Wan Fadzelah berkata, pihaknya amat kecewa dengan kegagalan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menguruskan pembahagian tiket hingga mengakibatkan berlakunya beberapa insiden kekecohan di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah, hari ini.

“Selepas tiga tahun berturut-turut pasukan Kedah mara ke pentas final Piala Malaysia serta Piala FA musim ini, sepatutnya KFA sudah tahu atau belajar bagaimana untuk memastikan penjualan tiket berjalan lancar dan bersistematik.

“Tapi nampaknya, KFA seperti tidak berubah. Malah, kali ini dilihat lebih buruk hingga ada yang bergaduh dan merosakkan kemudahan di stadium.

“Kami bercadang membuat aduan kepada pejabat SPRM negeri Kedah untuk membuat siasatan hal ini. Mungkin berlaku ketirisan di pihak pengurusan KFA sendiri, ke mana perginya tiket-tiket itu.

“Kami memohon agar pegawai SPRM menyiasat pegawai-pegawai KFA yang cuba membawa tiket ini ke arah lain ataupun diberikan kepada orang lain.

“Maksudnya kami mahukan KFA senaraikan dan nyatakan pecahan-pecahan tiket ini dibahagikan kepada siapa seperti bas, kaunter tiket, kelab gabungan di bawah KFA dan penaja untuk kami ketahui ke mana perginya kesemua tiket itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket masing-masing kepada skuad Helang Merah dan Harimau Selatan bagi edisi final ke-91 itu.

Bagaimanapun, tidak sampai sejam tiket disahkan sudah habis dijual yang kemudiannya menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan 1,000 penyokong hijau kuning.

Kaunter tiket yang mula dibuka pada jam 9 pagi sudah dipenuhi oleh ribuan penyokong Kedah dan ada yang sudah bermalam di sini sejak pukul 8 malam tadi namun ada yang pulang kecewa selepas tidak berjaya mendapatkan tiket.

Jelas Wan Syazwan lagi, LMFA turut bercadang menyerahkan memorandum kepada Presiden KFA, Datuk Seri DiRaja Ahmad Bashah Md Hanipah bagi memperbaiki sistem penjualan tiket serta mendesak agar kedudukan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar dikaji semula.

“Kami lihat Shaharol Niza gagal melaksanakan peranannya biarpun sudah 3 tahun mengalami situasi sama. Sudah tiba masanya tempat beliau dikaji semula supaya isu sama tidak berulang di masa akan datang sekiranya Kedah sekali lagi mara ke final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 5:05 PM