Mohamad Zulfaizan Mansor


PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) kesal dengan insiden kekecohan penyokong ketika membeli tiket final Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam (gambar) berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai apa yang berlaku daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Katanya, beliau percaya tiada penyelewengan yang berlaku dalam pengagihan tiket final itu dan mendakwa kemungkinan cara agihan berbeza digunakan KFA.

“Kami kesal dan prihatin dengan apa yang berlaku. Setakat ini kami belum mendapat apa-apa maklumat mengenai kejadian itu dan akan mendapatkan penjelasan daripada KFA.

“Sebelum pengagihan tiket, kami ada bermesyuarat bersama wakil kelab penyokong pasukan masing-masing dan juga wakil pasukan mengenai lokasi (penjualan) tiket, cara agihan dan sebagainya.

“Kami sudah memberi agihan yang sepatutnya seperti diumumkan sebelum ini. Kemungkinan mereka (KFA) ada cara agihan mereka sendiri dan itu adalah pilihan pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kekecohan itu tercetus selepas kumpulan penyokong tidak berpuas hati apabila 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk penyokong Helang Merah habis dijual dalam tempoh 45 minit.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Shaharol Niza Omar bagaimanapun menjelaskan kesilapan tanggapan mengenai jumlah sebenar tiket final Piala Malaysia yang dijual di kaunter menyebabkan berlakunya kekecohan itu.

Katanya, daripada keseluruhan 30,000 tiket yang diperuntukkan FMLLP, hampir 10,000 tiket sahaja yang dijual di kaunter Stadium Darul Aman kepada penyokong skuad Helang Merah.

Lebih buruk, insiden itu turut mengheret pembabitan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Shaharol mengesahkan KFA sudah memberi keterangan kepada pegawai agensi terbabit.

SPRM terpaksa melakukan siasatan selepas laporan dibuat oleh kelab penyokong kerana mendakwa kegagalan KFA menguruskan penjualan tiket final itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 8:06 PM