Shakespeare kena pecat selepas skuad gagal menyerlah. FOTO AFP
Shakespeare kena pecat selepas skuad gagal menyerlah. FOTO AFP
AFP

LEICESTER City sah memecat Craig Shakespeare hanya selepas empat bulan menandatangani kontrak tetap mengendalikan bekas skuad juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Shakespeare, 53, beralih daripada pembantu jurulatih menguruskan The Foxes sementara selepas pemecatan mengejutkan Claudio Ranieri ‘Tinkerman’ pada Februari sebelum ditawar kontrak selama tiga tahun pada Jun lalu.

Juara EPL musim 2015-16 itu bagaimanapun bergelut musim ini dan berada ketiga paling bawah dalam kedudukan liga dengan hanya satu kemenangan saja.

Pengerusi Leicester Aiyawatt Srivaddhanaprabha berkata: “Craig seorang kakitangan hebat kepada Leicester City sepanjang bertugas sebagai pembantu pengurus dan sejak mengambil alih sebagai pengurus dalam keadaan mencabar sejak Februari lalu.”

Bekas bos Blackburn dan Portsmouth Michael Appleton, yang berperanan sebagai pembantu kepada Shakespeare akan mengambil alih selaku pengendali sementara Leicester untuk kunjungan EPL ke Swansea Sabtu ini.

Selain itu beberapa calon awal untuk mengambil alih tugas terbabit adalah bekas bos England Sam Allardyce yang meninggalkan Crystal Palace pada penghujung musim lalu dengan pengurus Wales Chris Coleman, Sean Dyche (Burnley) dan ketua jurulatih Zenit St Petersburg, Roberto Mancini juga berada dalam senarai.

Leicester hanya menang perlawanan menentang pasukan baru dinaikkan EPL, Brighton pada Ogos lalu.

Dengan tiga keputusan seri berdepan Huddersfield, Bournemouth dan West Brom Shakespeare juga membawa skuad itu menewaskan Sheffield United dan Liverpool dalam Piala Liga.

Dia adalah pengurus kedua dipecat dalam musim baru EPL selepas Frank de Boer juga kehilangan tugas bersama Crystal Palace.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 2:12 PM