GOL kedua Immobile (kiri) hasil sepakan penalti. -Foto Reuters
GOL kedua Immobile (kiri) hasil sepakan penalti. -Foto Reuters
IMMOBILE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
IMMOBILE (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

MILAN: Dua jaringan Ciro Immobile pada babak kedua buat Lazio memberikan penyandang juara Serie A, Juventus kekalahan pertama di laman sendiri sejak dua tahun apabila tewas 2-1 awal pagi tadi yang membolehkan Napoli menjarakkan kedudukan selepas menewaskan Roma 1-0.

Paulo Dybala gagal menyempurnakan penalti ketika gergasi Turin itu tewas di laman sendiri buat pertama kali sejak Ogos 2015 – menamatkan rentetan 38 kemenangan dan tiga seri buat juara enam kali berturut-turut Serie A itu.

Lorenzo Insigne menjaringkan gol awal di Stadium Olympic Rome ketika Napoli mengekalkan permulaan sempurna dengan lapan kemenangan berturut-turut.

Napoli kini lima mata di depan pasukan juara itu yang kini berkedudukan ketiga, sama 19 mata dengan Lazio dan Inter Milan, yang akan berdepan pencabar tetangga AC Milan malam ini.

Bagi jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, tanda amaran itu sudah ada sejak awal musim dan ketika seri 2-2 berdepan Atalanta dalam perlawanan terakhir mereka.

“Kami sudah nampak tanda amaran ketika berdepan Torino, Sassuolo dan Atalanta. Kami sudah tahu tanda kejatuhan ini dan membayar harga yang mahal untuk itu,” kata Allegri.

“Antara Bergamo (Atalanta) dan hari ini kami sudah mencicirkan lima mata dan masih belum menyedari bahawa untuk menang Scudetto anda mesti bertarung setiap hari.

“Kini kami ada perlawanan penting pada Rabu berdepan Sporting dalam Liga Juara-Juara dan kami perlu menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 2:56 PM