ANTARA aksi  perlawanan Juventus menentang Atalanta kelmarin yang berkesudahan seri.
ANTARA aksi perlawanan Juventus menentang Atalanta kelmarin yang berkesudahan seri.
AFP

Milan: Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri percaya pasukannya mungkin berdepan ancaman besar apabila bertemu Monaco di separuh akhir Liga Juara-Juara selepas anak buahnya kelihatan longlai gara-gara seri 2-2 dengan Atalanta kelmarin.

Juve bertandang ke Bergamo dengan sedar bahawa Atalanta mampu menghasilkan masalah buat mereka apabila pasukan itu pernah mengalahkan Napoli, Roma serta Inter Milan di tempat mereka musim ini.

Seminit selepas Dani Alves merasakan dia sudah menghasilkan kemenangan buat pasukannya menerusi tandukan yang membolehkan Juve mendahului 2-1, pemain tengah Swiss Remo Freuler bangkit menyamakan kedudukan.

Juventus akan berdepan Monaco, Khamis ini dan Allegri percaya skuad kendalian Leonardo Jardim itu mempunyai karektor sama dengan Atalanta.

“Jika kami menang malam ini, mungkin ia menjadi tonik terbaik sebelum bermain di Liga Juara-Juara,” kata Allegri. “Tetapi, sama ada kami sedia atau tidak, kami tetap perlu bermain Rabu (Khamis) nanti.

“Monaco mengamalkan taktik hampir serupa dengan Atalanta. Justeru, kami harap dapat bermain dengan baik.”

Atalanta yang dibimbing Gian Piero Gasperini, bermain dengan penuh yakin dan beberapa kali berjaya mengatasi kawalan pertahanan Juve sekali gus menjaringkan gol tanpa mampu disekat penjaga gol Gianluigi Buffon.

“Pada babak kedua, kami diasak dua serangan balas pantas yang berlaku disebabkan kesilapan kami sendiri. Perkara sedemikian perlu dielakkan apabila kami menentang Monaco nanti,” kata Allegri.

“Kami perlu mengkaji semula semua kesilapan kami. Ketika permainan berbaki seminit setengah dan kami mendahului, kami agak leka dan pasukan seperti Juve tidak sepatutnya melepaskan gol kepada lawan dalam keadaan begitu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 6:00 AM