AFP

TURIN: Bos Juventus, Massimiliano Allegri (gambar) menafikan juara Itali itu dilanda krisis di sebalik prestasi kurang bermaya ketika ini.

Juara Itali enam kali berturut-turut itu dipalit kekalahan dalam kempen Serie A kepada Lazio, Sabtu lalu - kekalahan pertama dalam tempoh dua tahun di laman sendiri dan ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Napoli.

Allegri menegaskan moral pemainnya sedang tinggi ketika ini menjelang pertembungan Liga Juara-Juara bertemu Sporting Lisbon di gelanggang sendiri, awal pagi esok.

“Juve tidak berada dalam krisis. Kami tidak tertekan kerana kami seri di (Atalanta) Bergamo dan kami tewas di laman sendiri kepada Lazio,” kata Allegri.

“Apa yang paling mustahak adalah sekarang. Esok kami akan mengharungi perlawanan sukar menentang Sporting, yang juga lawan yang kuat kerana mereka bertahan dengan baik dan mempunyai jurulatih yang baik serta berpengalaman.

“Mereka mengharungi perlawanan yang hebat menentang Barcelona, jadi kami perlu bijak, kekal bertenang dan fokus.”

Juventus ketika ini mengumpul tiga mata dalam Kumpulan D bersama Sporting - yang tidak pernah menang di Itali, dengan Barcelona menduduki tangga teratas selepas menang dua perlawanan terakhir.

“Secara matematik, jika kami menang dua perlawanan berikutnya kami akan layak. Jika tidak, kami perlu menunggu pasukan lain,” kata Allegri yang mengakui masih mengharapkan bintang Argentina, Paulo Dybala untuk menyempurnakan penalti di sebalik dua kegagalan sebelum ini.

“Selepas beberapa perlawanan, dia (Dybala) dibandingkan dengan (Lionel) Messi dan disebabkan oleh penalti, ia tidak lagi,” katanya.

“Dia pemain muda yang menakjubkan, perkara seperti ini akan menguatkan dirinya dan membolehkannya mencari keseimbangan.

“Adakah Dybala akan mengambil penalti?. Dia sentiasa akan melakukannya. Ia jelas tidak akan berubah.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 2:58 PM