AFP

BAITULMUQADDIS: Pengurus Sepanyol, Julen Lopetegui (gambar) menolak dakwaan pasukannya akan menerima kesan akibat pergolakan politik negara itu ketika mempersiapkan pasukannya ke Piala Dunia tahun depan, menjelang keputusan Catalan mendapatkan kemerdekaan.

Sepanyol menang perlawanan kelayakan terakhir 1-0 berdepan Israel, awal pagi tadi untuk berkedudukan teratas kumpulan G.

Kemenangan itu diraih sehari selepas ratusan ribu penunjuk perasaan berhimpun di Barcelona menentang rancangan pemimpin pemisah yang mahu mengisytiharkan kemerdekaan Catalonia selepas referendum awal diharamkan.

Parlimen wilayah Catalan dijangka akan bermesyuarat esok dengan Presiden wilayah itu, Carles Puigdemont akan mendedahkan rancangan mendapatkan kemerdekaan selepas referendum kontroversi yang menyaksikan keganasan dilakukan terhadap pengundi.

Tiga pemain Catalan kini berada dalam skuad Sepanyol termasuk pertahanan lantang, Gerard Pique (gambar kecil) yang menyokong referendum berkenaan.

Sekiranya usaha berkenaan berjaya, ia akan memberi kesan terhadap kelayakan mereka bersama pasukan itu.

“Kami adalah atlet dan politik sama sekali berbeza. Kami mahu fokus kepada diri sendiri,” kata Lopetegui selepas perlawanan.

Perlawanan awal pagi tadi tidak memberi kesan kerana Sepanyol sudah layak ke Piala Dunia dan Israel sudah pun tersingkir.

Sepanyol akan menjadi antara pasukan pilihan meraih gelaran itu tahun depan, namun Lopetegui menolak dakwaan pasukannya boleh meraih mahkota itu sambil berkata, semua pasukan yang layak adalah kuat.

“Semua pasukan yang akan ke Piala Dunia sangat kompetitif. Ia akan menjadi kejohanan yang menarik tetapi sukar.”

“Kami perlu menghadapi setiap perlawanan di Piala Dunia seperti ia perlawanan terakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 12:02 PM