PEMAIN Sepanyol pada sesi latihan di Stadium Fisht di Sochi, Russia. FOTO Agensi
PEMAIN Sepanyol pada sesi latihan di Stadium Fisht di Sochi, Russia. FOTO Agensi
AFP

SEPANYOL dan Portugal akan bertembung awal pagi esok yang juga saingan awal paling dinantikan pada Piala Dunia di Russia ketika skuad Sepanyol menegaskan mereka bersatu selepas pemecatan mengejut jurulatih Julen Lopetegui.

Bagaimanapun, selepas tuan rumah Russia membelasah Arab Saudi 5-0 pada aksi pembukaan, tumpuan kini terarah kepada Sepanyol yang akan menentang skuad diketuai Cristiano Ronaldo yang juga juara Eropah di Sochi.

Sepanyol dilabelkan sebagai satu daripada pasukan pilihan memenangi trofi buat kali kedua selepas dua tahun tidak pernah kalah di bawah kendalian Lopetegui.

Bekas bintang Real Madrid, Fernando Hierro diberikan tugasan sebagai ketua jurulatih walaupun kurang pengalaman dan berdepan bebanan besar di bahunya.

Kapten Sergio Ramos dan Hierro tampil bersatu semalam ketika mereka akan menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan B berdepan pasukan jiran itu selepas dua hari yang kelam kabut. 

"Tiada siapa yang lebih baik berbanding Fernando. Dia pemain yang hebat dan sudah lama mengenali kami," kata Ramos.

Pelantikan Lopetegui oleh Real membimbangkan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol yang ia boleh menyebabkan krisis lama membabitkan pemain dari Madrid dan Barcelona.

Ramos, yang juga kapten Real Madrid, menegaskan apa yang berlaku minggu ini tidak mendatangkan kesan kepada hubungan pemain.

"Tiada masalah keretakan. Kami semua individu dan kami berfikir dengan cara berbeza, tapi idea berkumpulan adalah sama - kami di sini untuk Piala Dunia," katanya.

Hampir 5,000 kilometer dari situ, Lopetegui diperkenalkan sebagai jurulatih baharu Madrid.

Pengendali berusia 51 tahun itu menggambarkan hari dia dipecat sebagai "hari paling menyedihkan dalam hidup saya sejak kematian ibu".

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 12:34 PM