AFP

Suzuka, Jepun: Nico Rosberg terus memberikan tekanan buat rakan sepasukan Lewis Hamilton apabila dia mendahului catatan masa di kedua-dua sesi latihan menjelang Grand Prix Jepun minggu ini.

Pelumba Jerman itu yang memiliki kelebihan 23 mata berbanding Hamilton sambil berbaki lima perlumbaan musim ini, mengatasi juara dunia dua kali berkenaan pada sesi latihan pagi dan petang.

Rosberg memberikan tekanan psikologi untuk mencabar gelaran Formula Satu musim ini apabila memenangi empat daripada lima perlumbaan walaupun pada awalnya dia kelihatan tidak senang dengan pesaing lain.

“Ia hanyalah mengenai cara saya berlumba,” kata Rosberg. “Kami sedang mendahului Ferrari tetapi pesaing sebenar kami adalah Red Bull.”

Hamilton masih lagi bengang dengan insiden yang menyaksikan enjin jenteranya terbakar sekali gus gagal menamatkan saingan di Litar Sepang minggu lalu.

Selepas mendakwa insiden itu berunsur sabotaj dalaman, Hamilton sekali lagi kecewa dan mendakwa enjin jenteranya kekurangan kuasa ketika mengharungi sesi latihan pagi.

Jenteranya berjaya dipulihkan pada sesi petang, tetapi tetap gagal menyaingi Rosberg yang sedang berada pada tahap terbaik.

“Secara keseluruhannya, saya tidak menghadapi masalah besar dan jentera saya juga dalam keadaan baik,” kata Hamilton yang mahu memburu kejuaraan ketiga berturut-turut di Suzuka.

“Tapi, masih ada lagi peningkatan yang boleh kami lakukan terhadap jentera ini.”

Rosberg cemas seketika apabila ekzos keretanya mengeluarkan banyak asap sebaik keluar dari garaj.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalang Rosberg untuk mencatat masa terpantas 1 minit 32.250s manakala Hamilton sekadar 1:32.322s.

Kimi Raikkonen ketiga terpantas pada sesi kedua diikuti pelumba Red Bull Max Verstappen dan Sebastian Vettel.

Pelumba Force India Sergio Perez di tangga keenam manakala Fernando Alonso di tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:07 AM