HAMILTON meraikan kemenangan selepas menamatkan perlumbaan di Litar Suzuka. FOTO/ REUTERS/
HAMILTON meraikan kemenangan selepas menamatkan perlumbaan di Litar Suzuka. FOTO/ REUTERS/
AFP

SUZUKA, Jepun: Lewis Hamilton meraih kemenangan pada Grand Prix Formula Satu Jepun hari ini untuk menghampiri kejuaraan dunia keempat apabila Sebastian Vettel terkeluar daripada perlumbaan selepas mengalami kegagalan enjin dalam hanya empat pusingan.

Pemandu Britain itu mendominasi dari petak mula, mengemudi jentera Mercedes melakar kemenangan kelapan tahun ini, mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dunia di depan Vettel kepada 59 mata dengan hanya berbaki 100 mata.

“Secara jujur saya tidak mengimpikan jurang sebegini,” kata Hamilton selepas menangani cabaran sengit lewat perlumbaan daripada Max Verstappen di Litar Suzuka.

“Pasukan ini melakukan tugas luar biasa, mereka terlalu cermat dan teliti jadi terima kasih banyak kepada semua.”

HAMILTON (depan) mendahului dari awal perlumbaan.  FOTO/REUTERS
HAMILTON (depan) mendahului dari awal perlumbaan. FOTO/REUTERS

Verstappan dari Red Bull - yang mengejutkan Hamilton untuk menang di Malaysia minggu lalu - dan rakan sepasukannya Daniel Ricciardo meraih podium berganda bagi perlumbaan kedua berturut-turut.

Valtteri Bottas berakhir di tangga keempat menerusi jentera kedua Mercedes manakala Kimi Raikkonen dari Ferrari di tangga kelima dan Esteban Ocon di tangga keenam buat Force India.

Ketika Hamilton merangkul kemenangan keempat di Jepun, impian Vettel memburu kejuaraan mungkin berkubur dengan berbaki empat perlumbaan selepas permulaan buruk dari barisan hadapan.

VERSTAPPEN menamatkan saingan di tempat kedua. FOTO/AFP
VERSTAPPEN menamatkan saingan di tempat kedua. FOTO/AFP

Mekanik Ferrari bekerja keras di grid untuk membaiki masalah palam pencucuh sebelum perlumbaan bermula dan Vettel pantas merungut mengenai kekurangan tenaga kuasa.

Pemandu Jerman itu, yang berakhir di tangga keempat di Malaysia dan mengalami kemalangan dari petak mula di Singapura sebelum itu, merudum ke tangga keenam pada pusingan pertama sebelum dimaklumkan supaya menghentikan perlumbaan ketika Hamilton memecut pantas menjauhkan diri.

“Menyedihkan dalam dua perlumbaan kami menghadapi masalah reliabiliti,” kata Vettel, yang mendahului kejuaraan enam minggu lalu.

“Tapi kini penting untuk berehat dan memberikan yang terbaik bagi empat perlumbaan terakhir dan lihat apa yang akan berlaku.”

Cuaca panas patutnya menyebelahi Ferrari namun Hamilton tidak memberi peluang untuk menguasai perlumbaan 53 pusingan itu selepas mencatat rekod dalam laluan merampas petak utama, semalam.

Verstappen mencetus debaran dalam dua pusingan terakhir namun cabarannya terlalu lewat untuk menyekat kemenangan keempat berturut-turut buat Mercedes di Suzuka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2017 @ 4:36 PM