JARINGAN Isco (kiri) lonjak Real. FOTO/AFP
JARINGAN Isco (kiri) lonjak Real. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Isco meledak dua gol ketika Real Madrid merapatkan jurang berbanding pendahulu La Liga, Barcelona kepada tujuh mata selepas menang 2-0 ke atas Espanyol pada hari yang mana bola sepak dicemari dengan pertempuran politik di Catalunya.

Barca terdahulu meneruskan permulaan sempurna La Liga kepada tujuh perlawanan dalam suasana luar biasa ketika mereka menumpaskan Las Palmas 3-0 di Nou Camp beraksi tanpa penonton berikutan tindakan polis mencegah undi suara meminta kemerdekaan yang diharamkan oleh kerajaan Sepanyol.

Ketegangan politik turut meletus di Santiago Bernabeu yang mana penyokong Real mengibarkan bendera Sepanyol dan menyanyikan lagu ‘Viva Espana’.

Di tengah padang bagaimanapun kurang konflik apabila Real mencatat kemenangan ke-11 berturut-turut ke atas Espanyol yang berpangkalan di Barcelona bagi kemenangan pertama di laman sendiri musim ini.

“Kami perlu bergembira. Perkara penting adalah tiga mata selepas tiga perlawanan tidak menang di sini,” kata jurulatih Madrid, Zinedine Zidane.

PEMAIN tengah Espanyol Jose Manuel Jurado (tengah) cuba melepasi halangan pertahanan Real Casemiro. FOTO/AFP
PEMAIN tengah Espanyol Jose Manuel Jurado (tengah) cuba melepasi halangan pertahanan Real Casemiro. FOTO/AFP

Isco dinafikan gol pembukaan dalam tempoh 30 saat pertama oleh penjaga gol Espanyol, Pau Lopez.

Namun pemain kebangsaan Sepanyol itu tidak melakukan kesilapan apabila dia merembat masuk umpanan Cristiano Ronaldo bagi gol pertama pada minit ke-30.

Kedegilan Espanyol dirobek sekali lagi 19 minit sebelum tamat apabila Isco melencongkan masuk gol keduanya selepas satu serangan balas pantas.

“Dia seorang pemain yang beraksi seolah-olah dia bermain di jalanan,” kata Zidane mengenai prestasi cemerlang Isco.

“Saya sukakannya. Dia tidak bimbang apabila apa yang dimahukannya tidak menjadi.”

Kemenangan itu melonjakkan Madrid ke tangga kelima di belakang Barca, Sevilla, Valencia dan Atletico Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:34 AM