PENYERANG Barca, Lionel Messi (tengah) pernah mencetus fenomena dalam LaLiga. FOTO/AFP
PENYERANG Barca, Lionel Messi (tengah) pernah mencetus fenomena dalam LaLiga. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Barcelona dan ahlinya akan memutuskan liga bola sepak mana akan disertai jika Catalunya mendapat kemerdekaan daripada Sepanyol, menurut presiden kelab itu Josep Maria Bartomeu semalam.

Kelab gergasi Catalunya itu bermain secara tertutup tanpa penonton di Nou Camp Ahad lalu, mengalahkan Las Palmas 3-0 dalam La Liga, sebagai protes menentang kerajaan Sepanyol yang menggunakan kekerasan untuk menghalang pengundi mengambil bahagian dalam pembuangan undi suara bagi menentukan nasib masa depan wilayah itu.

Lebih daripada 840 orang memerlukan rawatan perubatan selepas polis pencegah rusuhan bertembung dengan mereka yang cuba terbabit dengan undian kontroversi itu, yang diharamkan oleh kerajaan Sepanyol.

PENDUDUK Catalan merusuh ke arah polis. FOTO/AFP
PENDUDUK Catalan merusuh ke arah polis. FOTO/AFP

“Dalam kes kemerdekaan, kelab dan ahli akan memutuskan liga mana yang akan kami sertai,” Bartomeu memberitahu wartawan selepas satu mesyuarat lembaga pengarah.

Menteri Sukan Catalan Gerard Figueras berkata minggu lalu Barcelona mungkin boleh beraksi di negara lain jika wilayah itu mencapai kemerdekaan daripada Sepanyol.

“Jika mendapat kemerdekaan, pasukan Catalan dalam La Liga - Barcelona, Espanyol dan Girona - perlu memutuskan di mana mereka bermain: dalam liga Sepanyol atau negara jiran seperti Itali, Perancis atau Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Bartomeu turut menyatakan beliau menerima peletakan jawatan naib presiden Barcelona, Carles Vilarrubi dan pengarah Jordi Mones, yang menentang keputusan bermain secara tertutup

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 1:40 PM