DYBALA (kanan) memperdaya Sirigu untuk gol keempat Juventus. - Foto REUTERS
DYBALA (kanan) memperdaya Sirigu untuk gol keempat Juventus. - Foto REUTERS
AFP

MILAN: Paulo Dybala menyumbat dua gol ketika Juventus membenam Torino yang beraksi 10 pemain 4-0 dalam pertembungan jiran setempat Turin awal pagi tadi untuk kekal di tangga teratas Serie A di samping Napoli yang bergelut mengatasi SPAL 3-2.

Penyerang Argentina itu kini meledak 10 gol termasuk dua hatrik dalam enam aksi Serie A ketika Miralem Pjanic dan Alex Sandro turut menyumbang gol di Stadium Allianz.

PJANIC (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. - Foto EPA
PJANIC (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. - Foto EPA

Juventus mengekalkan permulaan sempurna namun bagi Torino ia kekalahan pertama dalam kempen ketika mereka bergelut dengan 10 pemain dalam tempoh lebih sejam selepas Daniele Baselli dibuang padang kerana kad kuning kedua.

“Torino biasanya mencetus masalah buat lawan mereka tapi kami tidak terancam malam ini,” kata Pjanic.

Terdahulu Napoli bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menundukkan SPAL 3-2 bagi kemenangan keenam berturut-turut manakala AS Roma mengatasi Udinese 3-1 sekali gus mencetus keyakinan buat semua kelab Itali dalam Liga Juara-Juara menjelang aksi minggu depan.

Napoli kendalian Maurizio Sarri mendahului secara perbezaan gol dengan 22 gol dijaringkan manakala Roma melonjak ke tangga keempat dengan 12 mata dan Torino merudum ke tangga keenam dengan 11 mata.

Dybala membuka tirai jaringan selepas 16 minit dari hujung kotak penalti apabila Pjanic merampas bola daripada Tomas Rincon di tengah.

Sepakan percuma Pjanic lima minit sebelum rehat mencetus gol kedua Juventus dengan Sandro menanduk masuk gol ketiga selepas 57 minit.

Penjaga gol Salvatore Sirigu bertindak baik menafikan beberapa percubaan tuan rumah namun tidak mampu menyekat gol keempat Dybala pada masa kecederaan menyebabkan Torino masih menanti kemenangan pertama di Juventus sejak 1995.

Di sebalik beraksi hebat dalam Serie A, pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu tumpas 0-3 pada aksi pertama Liga Juara-Juara di Barcelona dan menanti kunjungan juara Greece, Olympiakos Rabu ini.

“Pasukan ini akan bangkit di laman sendiri kerana kami mahu layak ke pusingan berikutnya,” tegas Pjanic.

“Olympiakos mempunyai kualiti, jadi kami mesti cuba mendominasi sejak awal dan menekan mereka seperti kami lakukan malam ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 10:29 AM