THIAGO (kiri) ledak gol kedua Bayern.
THIAGO (kiri) ledak gol kedua Bayern.
AFP

MUNICH, Jerman: Jaringan babak kedua Thiago Alcantara membantu Bayern Munich membenam Anderlecht yang beraksi 10 pemain 3-0 pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Selepas Robert Lewandowski menyempurnakan penalti awal (minit ke-12), gol Thiago membolehkan Bayern selesa mendahului 2-0 (m-65) sebelum Joshua Kimmich meraih gol lewat (m-90) di Arena Allianz yang menyaksikan tiket habis dijual.

Bagaimanapun, di sebalik beraksi hampir 80 minit dengan kelebihan seorang pemain berikutan Sven Kums dibuang padang, ia bukannya persembahan mengagumkan Bayern menentang Anderlecht yang serba kekurangan.

“Kami patut menggunakan kesempatan ini,” jelas Kimmich.

PENGADIL, Paolo Taglivento (empat dari kiri)  melayangkan kad merah kepada pemain tengah Anderlecht Sven Kums (kanan).
PENGADIL, Paolo Taglivento (empat dari kiri) melayangkan kad merah kepada pemain tengah Anderlecht Sven Kums (kanan).

“Akhirnya, Anderlecht ada beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan. Dengan kelebihan seorang pemain, kami sepatutnya bertindak lebih baik.”

Arjen Robben bersetuju tindakan penyudah Bayern perlu lebih klinikal.

“Tiada tempo dalam permainan kami - kami perlu menunjukkan lebih keghairahan,” ujar pemain sayap Belanda itu.

“Penonton berhak mendapat yang lebih lagi, kami perlu bertindak lebih bagus. Kami patut meranapkan cabaran mereka apabila seorang pemain mereka dibuang padang.”

Kelab Bavaria itu perlu meningkatkan persembahan apabila bertemu kelab berbelanja besar Paris Saint-Germain, yang membelasah Celtic 5-0 di Glasgow dalam masa dua minggu lagi.

Pertembungan di Paris itu dijangka menentukan hala tuju Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 11:49 AM