AKSI perlawanan antara McGregor (kanan) dan Mayweather. -Foto AFP
AKSI perlawanan antara McGregor (kanan) dan Mayweather. -Foto AFP
AFP

LOS ANGELES: Pertarungan antara Floyd Mayweather dan Conor McGregor gagal memecahkan rekod kutipan tiket masuk untuk perlawanan tinju di Las Vegas.

Ia menurut angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Olahraga Negeri Nevada, awal pagi tadi.

Aksi kontroversi yang berlangsung pada 26 Ogos lalu itu mengutip AS$55,414,865.79 (RM234.8 juta) jauh ketinggalan berbanding AS$72,198,500 (RM306 juta) yang diraih ketika Mayweather menentang Manny Pacquiao dalam aksi yang disifatkan pertarungan terhebat abad ini di MGM Grand.

Pertarungan Mayweather-McGregor di Arena T-Mobile hanya menjual 13,094 tiket, kurang daripada kapasiti asal venue pertarungan yang mempunyai 20,500 tempat duduk.

Perlawanan Mayweather-Pacquiao berjaya menjual 16,219 tiket.

Sebanyak 137 tiket diberikan secara percuma dalam perlawanan antara Mayweather-McGregor yang dimenangi Mayweather dalam aksi 10 pusingan.

Harga tiket bagi aksi Mayweather-McGregor antara yang termahal dalam sejarah dengan paling murah berharga AS$500 (RM2,119) manakala paling mahal AS$10,000 (RM42,385).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 10:17 AM