AFP

NEW YORK: Bintang gabungan seni mempertahankan diri (MMA) Conor McGregor (gambar), yang dikhabarkan sebagai lawan berpotensi untuk menentang ikon tinju Filipina Manny Pacquiao, membayangkan pertarungan berikutnya akan diadakan di gelanggang oktagon dan bukannya gelanggang tinju.

McGregor yang dirakam laman berita selebriti menerusi video ketika bersiar-siar di New York ditanya mengenai pengumuman Pacquiao minggu lalu yang bersedia memulakan perbincangan untuk menentangnya.

“Saya ingin melakukan pertarungan sebenar selepas ini,” kata McGregor menerusi video dimuat naik awal pagi ini. “Selepas ini MMA.”

McGregor yang berasal dari Ireland itu tidak pernah bertarung dalam acara gabungan seni mempertahankan diri atau tinju selepas tewas kepada Floyd Mayweather menerusi kemenangan teknikal pada pusingan ke-10 dalam pertarungan tinju di Las Vegas Ogos lalu.

Perangkaan dikeluarkan Showtime Sports pada Jumaat menunjukkan bahawa pertarungan sukan tempur berbeza itu berjaya menarik pembelian siaran berbayar kedua tertinggi dalam sejarah di Amerika Utara dengan 4.3 juta pembelian.

Bagaimanapun ia ketinggalan berbanding pertarungan Mayweather dengan Pacquiao pada 2015 yang mencatat pembelian berbayar sebanyak 4.6 juta.

Showtime dalam satu kenyataan berkata bahawa keuntungan global, termasuk penjualan tiket, penajaan dan edaran antarabangsa untuk pertarungan Mayweather-McGregor sudah melepasi AS$600 juta (RM2.44 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 1:54 PM