GOH Jin Wei
GOH Jin Wei
Datuk Seri Jalani Sidek

Dua minggu lalu, saya boleh sifatkan minggu yang suram untuk badminton negara. Segala-galanya bermula dengan kempen hambar di Kejohanan Dunia apabila tiada seorang pun pemain melepasi suku akhir. Paling memberi kesan adalah apabila Viktor Axelsen - seorang pemain Denmark yang baru berusia 23 tahun, muncul juara dunia selepas menewaskan jaguh China, Lin Dan.

Ketika kita terus mengharapkan kepada Datuk Lee Chong Wei, Denmark sudah pun mempunyai juara dunia yang baru. Sebaik habis cerita di Glasgow, Scotland, derita itu ditambah pula dengan pencapaian Malaysia yang gagal menepati sasaran di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017). Dua emas yang diharapkan menerusi beregu wanita dan campuran tidak berhasil.

Sebaliknya barisan pemain perseorangan wanita yang tidak diletakkan sebarang harapan pula melakar kejutan dengan memenangi pingat emas menerusi siapa lagi kalau bukan Goh Jin Wei (gambar). Mujur ada emas tunggal dari Jin Wei. Kalau tidak memang kita melopong besar selaku tuan rumah tanpa emas.

Barisan pemain lelaki pula agak mengecewakan. Paling gagal memberi impak adalah perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Bagi saya, tidak sepatutnya dia terkandas awal kerana jika mengambil kira faktor pengalaman, Iskandar paling tidak sepatutnya berada di pentas final.

Tapi nak kata banyak pun segala-galanya sudah berakhir. Tutup saja buku lama dan buka buku baru.

Melihat prestasi di Kejohanan Dunia serta Sukan SEA, ia menimbulkan rasa resah di hati saya. Sebab tahun depan kita mempunyai misi yang lebih besar di Piala Thomas & Uber, Sukan Komanwel dan Asia.

Paling merisaukan adalah apabila membabitkan saingan berpasukan. Nampak jelas kita tidak mempunyai pasukan yang mantap.

Namun di sebalik rasa suram kem badminton negara, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atlet negara yang cukup cemerlang di KL2017 apabila kita dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Paling membanggakan ialah kontinjen negara berjaya meraih 145 pingat emas mengatasi sasaran 111 emas. Saya difahamkan ini adalah pencapaian terbaik kita sebagai tuan rumah serta di Sukan SEA. Kita juga banyak mendominasi sukan-sukan berstatus Olimpik seperti terjun dan berbasikal.

Jelas sekali sebenarnya tiada yang mustahil. Dengan slogan keramat Malaysia Boleh!, kita mampu mencapai apa saja yang disasarkan.

Syabas Malaysia! Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 2:49 AM