JIN Wei (kiri) bersama June Wei. Foto Instagram jinweigoh
JIN Wei (kiri) bersama June Wei. Foto Instagram jinweigoh
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Goh Jin Wei dan Cheam June Wei beraksi dalam acara beregu campuran? Itulah spekulasi yang tular ketika ini apabila dua bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dikatakan akan kembali memeriahkan kancah pertandingan antarabangsa.

Menariknya Jin Wei, juara remaja dunia perseorangan wanita 2015 dan 2018, menerusi laman Instagram miliknya bagaikan mempelawa June Wei, yang keluar dari BAM minggu lalu, beraksi bersamanya dalam kategori yang semakin mendapat sambutan itu.

"Mix?" tanya Jin Wei ringkas sambil memuat naik gambarnya bersama pemain itu. June Wei membalas ringkas "Let's" sekali gus menarik minat warganet dan peminat yang ternyata amat bersetuju jika kedua-duanya berganding dalam acara beregu campuran.

Sekalipun masih muda berusia 21 tahun, Jin Wei mengejutkan banyak pihak apabila mengumumkan persaraan pada 13 September lalu dengan alasan faktor kesihatan selepas menjalani pembedahan membuang sebahagian usus perut pada pertengahan 2019.

Namun selepas bersara, pemenang pingat emas perseorangan wanita Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu dilihat masih cergas dan pernah memuat naik dalam media sosial dia menjalani latihan sukan tenis dengan seorang jurulatih beberapa hari lalu.

June Wei, 24, memutuskan keluar dari BAM apabila dia diarahkan pulang dari Jelajah Eropah selepas gagal mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan terhadapnya pada Terbuka Czech (tewas pada pusingan pertama) dan Antarabangsa Belgium (suku akhir) bulan lalu.

Secara kebetulan kedua-dua pemain itu berasal dari Pulau Pinang. Jin Wei dari Bukit Mertajam manakala June Wei dari Seberang Jaya, Perai.

Jika menjadi kenyataan, kedua-duanya boleh saja menyertai kem pemain bebas yang diketuai beregu campuran berpengalaman Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Turut berada dalam skuad bekas pemain BAM itu antaranya Goh Soon Huat, Shevon Lai, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Low Juan Shen, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.

June Wei, yang beraksi dua perlawanan pada kempen Piala Thomas di Aarhus, Denmark menentang Kanada dan Jepun awal bulan lalu, turut menarik minat bekas pemain perseorangan negara Ong Ewe Hock yang kini mengendalikan Kelab Badminton Serdang.

"Saya harap dia tidak menggantung raket sebab usianya baru 24 tahun," kata Ewe Hock dalam satu laman portal.

"Terpulang kepadanya. Saya sebagai bekas pemain dan pemilik pusat latihan sedia menolongnya atau boleh juga sekadar menjadi tempat rujukan," katanya yang beranggapan June Wei masih berpotensi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:58 PM