Kuala Lumpur : Welson Sim (gambar) mungkin tidak setaraf dengan Joseph Schooling tetapi atlet Sarawak itu berharap dapat mengatasi juara Olimpik itu dengan muncul perenang gaya bebas nombor satu di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Peminat dan wartawan sudah pasti akan memberi fokus terhadap Schooling, juara Olimpik pertama dari Asia Tenggara memenangi emas 100 meter kuak kupu-kupu di Rio tahun lalu, apabila saingan bermula di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil nanti.

Bagaimanapun, Welson berharap untuk mengalih tumpuan mereka kepada dirinya apabila dia selesa menyerlah dalam acara 200, 400 dan 1,500 meter yang menyaksikannya menjadi harapan tunggal negara dalam sukan renang.

Schooling dan Welson akan berentap hanya dalam 4x100m dan 4x200m gaya bebas dengan kedua-duanya menjadi perenang utama negara masing-masing.

Welson memegang rekod kebangsaan 200m dengan catatan 1 minit 47.67 saat, 400m (3:49.48s) selain menghampiri rekod Jeffrey Ong yang melakar 15:23.61s dengan catatan peribadi terbaik (15:31.10s) di Kejohanan Peringkat Umur di Singapura, Mac lalu.

Welson mungkin tiada masalah untuk mengekalkan rekod 400m emas, tetapi akan berdepan cabaran 200m dan 1,500m.

“Semuanya akan menjurus kepada Sukan SEA. Semua rekod yang saya capai pada masa lalu tidak akan bermakna jika saya gagal mencapai matlamat emas,” kata Welson.

“Sukan SEA penting bukan saja bagi saya tapi juga negara. Saya mahu memecahkan rekod, bukan hanya untuk saya tapi negara. Tapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dengan terlalu memikirkannya,” kata Welson.

“Saya hanya memberi fokus terhadap latihan sendiri. Ketika ini saya sudah bersiap sedia dan tidak mengalami kecederaan. Secara mental dan fizikal saya sudah bersedia untuk berdepan dengan sesiapa saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 3:26 AM