Hamidin (kiri) sahkan Dollah kemuka rayuan. FOTO fail HM
Hamidin (kiri) sahkan Dollah kemuka rayuan. FOTO fail HM
Firdaus Hashim


SIKAP membisu Dollah Salleh sepanjang minggu lalu berhubung langkah susulan kemungkinan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya terjawab apabila Setiausaha Agung badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pengendali Pahang itu sudah menyerahkan rayuan baru-baru ini.

Menurut Hamidin, pihaknya sudah menerima surat rayuan daripada bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu dan ianya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Beliau (Dollah Salleh) sudah menyerahkan rayuan. Tentunya hukuman beliau sebelum ini akan diputuskan oleh Jawatankuasa Rayuan selepas ini.

“Selebihnya maaf saya tak boleh nak ulas lanjut kerana saya tidak mahu dikata cuba mempengaruhi keputusan Jawatankuasa Rayuan pula.

“Apa yang pasti dan boleh disahkan, memang beliau sudah hantar rayuan kepada FAM,” katanya ketika ditemui pada aksi persahabatan kelas ‘A’ membabitkan pasukan bola sepak wanita negara menentang India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Pada 21 Julai lalu, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman gantung 18 bulan dan denda RM30,000 terhadap Dollah kerana lantang mengkritik mutu pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United pada 1 Julai lalu.

Malah, pengendali berusia 54 tahun itu turut dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan kebenaran daripada badan induk itu yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik serta reputasi FAM.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Baljit Singh Sidhu menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Dollah jelas melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Hukuman berat berkenaan turut mendapat perhatian Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila beliau menasihatkan supaya Dollah tampil mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman dengan tempoh 14 hari bakal berakhir esok.

Untuk rekod, Tunku Ismail dan Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa pernah digantung untuk tempoh yang lama selepas mengkritik badan induk bola sepak tempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 8:39 PM