DOLLAH Salleh
DOLLAH Salleh
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya langkah Dollah Salleh mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sememangnya tepat demi menyelamatkan karier pengendali pasukan Pahang itu.

Jelasnya, hukuman penggantungan 18 bulan yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FAM, 21 Julai lalu cukup lama dan tempoh berkenaan dilihat boleh melenyapkan kerjaya Dollah yang pernah dilabel ‘The Special One Malaysia’.

“Dollah antara jurulatih tempatan terbaik pernah dilahirkan di negara ini hasil kejayaannya membawa beberapa pasukan tempatan menjuarai liga domestik dan membimbing Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2014 lalu.

“Sayang kalau bakatnya itu dilenyapkan dengan hukuman penggantungan terlalu lama. Pada saya, hukuman berkenaan tidak wajar diberikan kepada beliau yang sekadar mengeluarkan kenyataan media terhadap mutu pengadilan.

“Lainlah kalau beliau menumbuk atau mengasari pengadil memang selayaknya dihukum hingga 18 bulan.

“Bagaimanapun, saya memuji tindakan beliau yang tampil mengemukakan rayuan dan berharap Jawatankuasa Rayuan FAM boleh mengurangkan tempoh penggantungan itu sekali gus menyelamatkan masa depan beliau,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan bekas pengendali Harimau Malaya berusia 54 tahun itu sudah menyerahkan rayuan untuk meringankan hukumannya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu yang dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu mendapati Dollah jelas melanggar Artikel 61 Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 88 Statut FAM.

Hasilnya, beliau dijatuhkan hukuman gantung 18 bulan dan denda RM30,000 kerana lantang mengkritik mutu pengadilan sejurus berakhirnya aksi Liga Super antara Pahang dan FELDA United pada 1 Julai lalu.

Bukan kesalahan itu saja, Dollah juga dihukum kerana mengecam urusan pentadbiran hal-ehwal FAM tanpa mendapatkan kebenaran daripada badan induk itu yang boleh memberi impak negatif ke atas nama baik serta reputasi organisasi bola sepak tempatan itu.

“Beliau pasti menyesal dengan apa yang berlaku. Saya harap mereka (Jawatankuasa Rayuan FAM) boleh memberi peluang kedua kepadanya,” katanya.

Dollah akan menjalani penggantungan sembilan bulan pertama mulai 21 Julai hingga 20 April 2018 manakala bakinya mulai 21 April 2018 hingga 20 Januari 2019, bergantung pada rekod kelakuannya sepanjang tempoh penggantungan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:06 AM