Federer bertemu Cilic pada final. FOTO AFP
Federer bertemu Cilic pada final. FOTO AFP
AFP

ROGER Federer bakal muncul pemain tenis paling tua meraih kejayaan andai menjulang gelaran perseorangan lelaki pada final Grand Slam Wimbledon, hari ini.

Federer berpeluang meraih gelaran kelapan All England Club untuk mencatat nama sebagai juara tertua dalam era terbuka moden.

Dengan hari jadinya ke-36 kian hampir, pemain malar segar Switzerland itu mengatasi Arthur Ashe yang berusia 32 ketika menang pada 1975 sebagai pemain paling senior pernah memenangi Wimbledon.

Kejayaan mengatasi pemain Croatia Marin Cilic juga akan memberikan kejayaan ke-19 dalam karier Grand Slam dan kedua daripada tiga kejuaraan utama tahun ini selepas menyapu Terbuka Australia pada Januari selepas enam bulan tidak beraksi.

"Saya berharap untuk berada dalam keadaan terbaik apabila kejohanan gelanggang rumput berada dalam saingan," kata Federer.

Dia turut meraih kejuaraan memenangi Masters Indian Wells dan Miami termasuk kejohanan gelanggang rumput Halle.

Federer menang 30 kali dan hanya tewas dua kali tahun ini. Dia mara ke final Wimbledon untuk kali ke-11 tanpa mencicirkan sebarang set.

Perlawanan hari ini akan menandakan aksinya ke-102 pada kejohanan itu dan final ke-29 pada kejuaraan utama.

"Ia membuatkan saya gembira dan mencipta sejarah di Wimbledon. Ia sesuatu yang besar. Saya suka kejohanan ini," kata Federer.

Ketika kelompok 'Big Four' menampilkan pencabar utama maestro Swiss itu iaitu Murray, Novak Djokovic dan Rafael Nadal gagal ke separuh akhir, Federer ibarat seorang pemain baru dilahirkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 1:43 PM