FEDERER mara suku akhir berdepan Gasquet.
FEDERER mara suku akhir berdepan Gasquet.
AFP

Dubai: Roger Federer terselamat daripada bahaya dengan memenangi 20 mata berturut-turut sekali gus membantunya layak ke suku akhir Terbuka Dubai dalam pemburuan kejuaraan ketujuh, kelmarin.

Pemegang rekod Grand Slam dari Switzerland itu ketinggalan 1-4 pada set pertama menentang Fernando Verdasco, bekas pemain nombor tujuh dunia dari Sepanyol, sebelum menghasilkan lima permainan tanpa kesilapan, kebanyakannya permainan di jaring sebelum menang 6-4, 6-3.

Catatan mengagumkan Federer bermula selepas Verdasco memegang servis dengan bantuan lompatan smash seperti permainan badminton, menamatkan permainan itu dengan pukulan drive.

Pemain berusia 33 tahun itu mengambil masa kurang 15 minit sebelum bangkit dan berterusan dengan merampas servis pada set kedua, ada ketikanya dia menyerang ke jaring seperti jaguh Wimbledon di gelanggang rumput.

“Keputusan ini tidak bagus, tapi saya berasa OK dan tidak perlu tertekan,” kata Federer.

“Saya tidak banyak melakukan kesilapan. Saya memukul bola dengan bagus. Saya amat gembira dapat menguasai perlawanan. Saya tidak sedar mengutip terlalu banyak mata berturut-turut.”

Federer akan berdepan Richard Gasquet, bekas 10 pemain terbaik dunia dari Perancis.

Gasquet mengatasi Roberto Bautista Agut, pilihan ketujuh dari Sepanyol 6-4, 3-6, 7-6 (8/6).

“Saya tidak sabar bertemunya sekali lagi, kali terakhir kami beraksi pada final Piala Davis,” ujar Federer merujuk kepada perlawanan penting di Lille tiga bulan lalu.

“Ketika itu terlalu banyak tekanan. Kali ini sepatutnya lebih rileks.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:15 AM