FEDERER bergambar dengan trofi selepas mengalahkan Isner pada final Terbuka Miami, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
FEDERER bergambar dengan trofi selepas mengalahkan Isner pada final Terbuka Miami, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

ROGER Federer menjulang kejuaraan ke-101 dalam karier gemilangnya awal pagi tadi dengan penuh bergaya, mengalahkan juara bertahan Terbuka Miami ATP, John Isner 6-1, 6-4.

Federer, yang tidak menyertai musim gelanggang tanah liat sejak dua tahun lalu, mengesahkan kemenangan ke atas pemain Amerika Syarikat itu dalam masa 63 minit satu persembahan ideal untuk melancarkan bidaan memenangi Terbuka Perancis.

“Saya akan mengambil langkah awal untuk kembali beraksi pada kejohanan gelanggang tanah liat, saya bermain terlalu sedikit dalam beberapa tahun ini jadi saya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan tapi kemenangan ini lebih mengurangkan tekanan saya,” kata Federer.

“Saya akan bercuti seketika, berehat dan kemudian mempersiapkan diri, secara fizikal saya sepatutnya bagus tapi sekali lagi, kami akan lihat bagaimana badan saya bertindak balas.

FEDERER (tengah) melayan peminat dengan menandatangani autograf. — FOTO EPA
FEDERER (tengah) melayan peminat dengan menandatangani autograf. — FOTO EPA

“Saya teruja. Ia satu cabaran yang bagus,” ujar Federer dalam usaha menyingkirkan Rafael Nadal di Roland Garros apabila Grand Slam kedua musim ini bermula pada 26 Mei depan.

Federer bertindak cemerlang di Florida Selatan, bangkit daripada kekalahan pada final Indian Wells awal bulan ini sebelum menewaskan Isner, yang bergelut dengan masalah kaki pada hujung aksi di Stadium Hard Rock.

Federer tidak akan tampil pada kejohanan Masters berikutnya di Monte Carlo namun dijadual beraksi di Madrid awal bulan depan.

“Madrid akan menjadi ‘lihat apa yang akan berlaku’ dan kemudian pastinya saya mahu bersiap sedia bagi Paris dan harapnya semua kerja keras itu berbaloi untuk musim gelanggang rumput dan keras,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 12:05 PM