MAHADIR (kiri) ketika beraksi pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL).STR/MOHD RAFI MAMAT
MAHADIR (kiri) ketika beraksi pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL).STR/MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Tersenarai dalam 14 kelompok pemain skuad utama futsal negara menjadi buruan utama buat pemain muda, Mahadir Harahap Khairuddin.

Dia antara 20 pemain yang kini sedang menjalani latihan pusat pasukan futsal kebangsaan bagi menghadapi saingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan, 7 hingga 11 Oktober depan.

Menurut pemain Pahang Rangers itu, impian terpilih mewakili negara telah tercapai dan kini usaha untuk tersenarai dalam skuad utama menjadi misi utama yang memerlukan kesungguhan yang diiringi prestasi memuaskan.

"Sebagai pemain muda bukan mudah untuk saya tersenarai dalam kem pasukan futsal negara, peluang yang terhidang ini perlu saya buktikan dengan memberi sepenuh tumpuan dan aksi bermutu sepanjang sesi latihan.

"Misi utama saya ialah untuk berada dalam kelompok 14 pemain yang utama yang mampu beraksi untuk pasukan negara pada saingan kelayakan Piala Asia Futsal 2024 di Uzbekistan bermula minggu depan," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau yang sebelum ini beraksi bersama skuad futsal Sukma Pahang dan pasukan Malaysia B-20 menambah, untuk mendapat tempat dalam pasukan negara dia perlu bersaing dengan pemain senior yang memiliki pengalaman luas diperingkat antarabangsa.

Mahadir Harahap berkata, dia berpuas hati apabila mendapat kepercayaan jurulatih negara, Rakphol Sainetngam untuk diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang

Chinese Taipei minggu lalu, pasukan negara menang 5-2 dan satu gol berjaya disumbang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 7:52 PM