CALON melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan.
CALON melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan.
SYAHRIL
SYAHRIL
ISMAIL
ISMAIL
Suliati Asri


SERAMAI 395,870 calon mendaftar untuk menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara sudah pun memulakan 'pertempuran.'

Ia bermula dengan ujian bertutur bahasa Melayu pada 8 hingga 11 Januari lalu manakala bagi bahasa Inggeris pula akan bermula pada 17 hingga 23 Januari ini.

Ujian mendengar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula diadakan pada 29 Januari ini diikuti peperiksaan bertulis bermula pada 30 Januari sehingga 7 Mac ini.

Bagi menempuh peperiksaan bertulis yang menjadi medan pertempuran utama, pastinya semua calon kini sibuk membuat ulang kaji dan persiapan akhir.

Calon yang sudah melakukan persiapan awal, mungkin ketika ini walaupun tetap merasa 'tidak senang duduk,' apatah lagi bagi yang melakukan persiapan di saat akhir.

Guru Cemerlang Hifz al-Quran, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah, Ismail Salleh berkata, tidak kira seberapa banyak persiapan yang sudah dilakukan, ketika ini semua calon SPM 2023 perlu kekal tenang dan jangan terlalu panik.

Menurutnya, dalam masa lebih kurang dua minggu lagi pelajar akan menduduki peperiksaan bertulis SPM, mereka masih boleh mempersiapkan diri sebaiknya.

"Antara perkara pertama perlu dilakukan adalah merancang jadual ulang kaji sebaiknya.

ELAK tekanan berlebihan untuk kekal fokus.
ELAK tekanan berlebihan untuk kekal fokus.

"Ketika ini, pelajar perlu bahagikan atau peruntukkan masa untuk setiap subjek seringkas mungkin dengan membaca nota-nota ringkas.

"Elakkan baca buku agak tebal pada saat akhir ini.

"Seeloknya belajarlah di awal pagi Subuh yang tenang dan elak belajar di tempat yang sibuk serta bising.

Ismail berkata, masa berbaki ini juga sangat penting untuk mengetahui cara menjawab soalan yang betul.

Ini kerana, katanya pemeriksa mungkin tidak akan memahami jawapan calon jika mereka tidak tahu kaedah menjawab yang betul.

"Oleh itu, calon boleh meluangkan masa dengan mendengar teknik menjawab soalan di saluran Youtube dan sebagainya.

"Calon juga perlu mengambil kira masa untuk merehatkan minda seperti bermain 'game' sekadar merehatkan minda atau aktiviti luar seperti berjoging sebelah petang.

MOHON restu dan keberkatan ilmu dari guru.
MOHON restu dan keberkatan ilmu dari guru.

"Bagaimanapun, elak aktiviti berat dan lasak seperti bermain bola dan sebagainya untuk mengelak kecederaan," katanya.

Menurut Ismail yang juga Yang dipertua (YDP) Majlis Guru Cemerlang Daerah Kota Setar, Alor Setar, Kedah, selain menjaga kesihatan, pengambilan diet seimbang juga penting ketika ini.

"Ambil makanan mengandungi sumber karbohidrat yang baik seperti nasi, roti dan makanan yang mempunyai sumber protien yang berkualiti seperti ayam tanpa kulit, ikan dan sebagainya.

"Pengambilan produk susu rendah lemak atau sumber lemak sihat seperti kacang dan bijirin juga amat penting.

"Minum air putih secukupnya sepanjang hari supaya badan kekal terhidrat dan untuk minda calon kekal aktif, amalkan pemakanan sunnah seperti kismis madu sebelum belajar," katanya.

Bagi calon yang beragama Islam pula digalakkan supaya memperbanyak amalan kerohanian seperti membaca al-Quran setiap kali solat.

Selain itu, amalkan juga solat sunat dan tahajjud pada sebelah malam, berdoa dan bermunajat kepada Allah.

CALON beragama Islam disaran memanjatkan doa, lakukan solat sunat, tahajjud untuk mendapat keberkatan.
CALON beragama Islam disaran memanjatkan doa, lakukan solat sunat, tahajjud untuk mendapat keberkatan.

Manakala, bagi pelajar yang bukan Islam, berdoalah mengikut agama masing-masing.

Dalam melakukan persiapan akhir ini juga, Ismail menyarankan, gunakan peluang ini untuk mendapat berkat dan doa restu daripada ibu bapa serta keluarga tersayang.

"Mintalah juga restu dan keberkatan ilmu daripada insan yang sudah mencurah ilmu dan mendidik anda iaitu, guru.

"Pastinya mereka sentiasa doakan kejayaan anda," katanya.

SPM adalah peperiksaan yang bakal menentukan ke mana hala tuju pelajar selepas tamat persekolahan untuk mencapai cita-cita.

Ismail berkata, menerusi SPM ibu bapa mahu melihat kejayaan anak mereka dalam pelajaran.

Pelajar cemerlang SPM 2022, Muhammad Syahril Saidi, 19, berkata, setiap calon ada cara tersendiri dalam melakukan persiapan menghadapi peperiksaan.

PADA saat-saat akhir, agihkan masa untuk setiap subjek dengan membaca nota ringkas.
PADA saat-saat akhir, agihkan masa untuk setiap subjek dengan membaca nota ringkas.

Namun, di saat akhir ini menurutnya calon perlu membetulkan niat untuk menghadapi peperiksaan.

"Menjelang peperiksaan bertulis, ketika ini anda perlu mengingati semua fakta-fakta, melihat kembali nota-nota yang dibuat dan cuba untuk 'brainstormkan' di dalam ingatan.

"Di saat akhir ini juga, berserah dan pasrah dengan semua urusan serta kejadian kepada Allah SWT.

"Paling penting juga untuk anda sentiasa menjaga serta meraih berkat daripada ibu bapa dan guru,"katanya.

Memperoleh keputusan 11A, menurut Muhammad Syahril yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang, Kelantan, terdapat beberapa boleh dan tidak boleh atau 'do and don't dilakukan dalam melakukan persiapan akhir.

Antaranya luangkan masa dengan keluarga dan tidak terlampau dalam ulang kaji pelajaran.

Rehat seketika tatkala tertekan dalam ulang kaji pelajaran serta cari satu amalan supaya tidak putus talian dengan Allah SWT.

Manakala perkara tidak seharusnya dilakukan dan perlu dielak adalah dengan mengurangkan kekerapan bermain telefon bimbit.

"Bukan tidak boleh gunakan telefon tetapi jangan sampai terleka.

"Selain itu, ketika ini pelajar perlu membuang segala perkara yang boleh menjadi 'sampah' dalam kepala terutama perkara yang tidak mendatangkan kebaikan.

"Seterusnya, jangan sesekali menganggap panggilan dari ibu bapa itu gangguan walaupun ketika itu kita sedang belajar," katanya kini sedang mengikuti Asasi Pengajian Islam di Pusat Pendidikan Universiti Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:16 AM