MANGSA banjir Haziq Afif Muhammad, membersih buku teks sekolah yang tenggelam bajir, baru-baru ini.
MANGSA banjir Haziq Afif Muhammad, membersih buku teks sekolah yang tenggelam bajir, baru-baru ini.
Suliati Asri dan Nurul Husna Mahmud dan Nor‘Asyikin Mat Hayin


KESAN terhadap banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini turut meninggalkan impak buat pelajar.

Pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac ini juga terkesan.

Bayangkan saja, hanya berbaki beberapa bulan lagi untuk menduduki peperiksaan SPM, segala nota dan bahan rujukan serta buku-buku teks musnah sekelip mata dalam banjir.

Ia bukan saja memberi tamparan hebat buat pelajar tetapi secara tidak langsung sedikit melunturkan semangat juang mereka.

Bagi Mohd Hazem Mohd Baderon, 17, perasaan sedih dan kesal bercampur baur kerana selepas banyak usaha serta masa dicurahkan untuk menyiapkan nota dan bahan rujukan, semuanya musnah sekelip mata dalam banjir.

Mohd Hazem juga mengakui tertekan apabila rumahnya di Kampung Labohan Dagang di Banting, Selangor ditenggelami air sehingga menghanyutkan barangan penting termasuk persiapan untuk menduduki peperiksaan SPM.

"Saya berasa sangat sedih kerana selama ini banyak usaha yang dilakukan untuk membuat nota dalam mempersiapkan diri dengan peperiksaan SPM.

"Malah saya juga rasa menyesal tidak dapat menyelamatkannya kerana menyangkakan banjir tidak akan terlalu tinggi," katanya.

Melihat kepada keadaan rumah dan kerosakan yang alami, sebelum kembali ke rumah sesudah banjir surut, ibu sudah berpesan supaya reda dan bersabar dengan apa yang berlaku termasuklah jika kehilangan barangan persekolahan.

"Bagaimanapun, saya tetap sedih dengan bencana yang menimpa ini. Memang persediaan untuk peperiksaan ini dan fokus terganggu," katanya.

SUKARELAWAN sedia untuk menghantar barangan ke Pahang.
SUKARELAWAN sedia untuk menghantar barangan ke Pahang.

Namun, kata-kata dorongan yang diberikan terutama dalam kalangan guru dan rakan banyak membantu untuk Mohd Hazem kembali bersemangat dan mencari pelbagai alternatif lain sebagai ikhtiar dalam menghadapi peperiksaan.

"Saya bersyukur kerana mempunyai rakan yang prihatin sehingga sanggup meminjamkan dan berkongsi tip serta nota peperiksaan.

"Alternatif lain, saya turut menyertai banyak kumpulan belajar menerusi aplikasi Telegram yang banyak memberikan nota dan tip untuk sesuatu subjek selain mengambil peluang menyertai kelas tuisyen percuma," katanya.

"Rancanglah masa sebaiknya untuk belajar. Jagalah juga hubungan dengan Allah, ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.

"Ini kerana kejayaan tidak semestinya datang dengan usaha kita sendiri tetapi kerana doa-doa mereka yang Allah kabulkan.

Bagi calon SPM yang juga pelajar MITS Istana Bandar, Jugra, Banting, Selangor, Ahmad Mahir Mahyudin, banjir ini sememangnya memberi kesan yang besar bukan saja dirinya tetapi juga semua pelajar yang terjejas.

Namun, kini mereka perlu bangkit untuk terus mencari kekuatan dan alternatif lain untuk menghadapi peperiksaan SPM yang semakin hampir.

"Saya sememangnya kecewa kerana buku-buku yang musnah disebabkan banjir mengandungi pelbagai nota-nota penting yang sangat membantu saya dalam proses pembelajaran.

"Tetapi, saya perlu terus mempersiapkan diri. Oleh itu, saya mengambil inisiatif dengan melayari Internet untuk mendapatkan nota dan buku yang berkaitan. Saya juga membuat salinan nota dan buku dari kawan-kawan," katanya.

BUKU-BUKU yang dikumpul hasil sumbangan orang ramai.
BUKU-BUKU yang dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

Ditanya mengenai kata-kata semangat, nasihat atau cadangan untuk mengurangkan tekanan dalam menghadapi peperiksaan, kata Ahmad Mahir, setiap orang mempunyai kaedah yang tersendiri untuk mengulang kaji pelajaran.

"Jadi, kita tidak perlu meniru cara orang lain dan jangan pedulikan kata-kata negatif kerana kejayaan ini adalah untuk diri kita sendiri," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Zulfikar Ahmad berkata, tidak dinafikan ada sesetengah pelajar merasa tertekan dengan kehilangan bahan rujukan iaitu buku dan nota dalam kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini.

Namun, katanya apa yang penting kini adalah pelajar perlu fokus kembali kepada peperiksaan SPM yang akan ditempuhi kurang dua bulan dari sekarang.

"Tidak dinafikan rujukan dan nota itu penting. Tetapi sebenarnya apabila kita menulis nota, panca indera yang memainkan peranan. Justeru, apabila menulis nota dan membaca, kita menulis dengan mata serta ingatan.

"Jadi, apabila melakukan ulangkaji, kita sebenarnya menambah saja bahagian yang terlupa atau tertinggal," katanya.

Kini kata Dr Zulfikar, kehilangan buku nota atau bahan rujukan bukanlah masalah utama buat pelajar yang terkesan dengan bencana alam ini tetapi cara bagaimana untuk memulihkan semangat dan mendapatkan kembali momentum mereka untuk belajar.

"Saya percaya, pihak sekolah pastinya sudah menyusun pelbagai langkah untuk memastikan semua pelajar terutama yang terkesan dengan banjir bersedia menghadapi SPM.

"Selain ulang kaji, saya percaya kelas intensif yang dilakukan pihak sekolah juga sangat membantu.

"Inilah juga masanya ibu bapa, rakan dan orang sekeliling membantu. Mereka tak perlu untuk cakap banyak tetapi cukup sekadar memahami pelajar dalam keadaan ini," katanya.

Kata Dr Zulfikar, sebelum ini, pelajar mempunyai masa untuk belajar dalam jangka masa yang panjang.

Tetapi kini menurutnya keadaan mendesak sekali gus pelajar perlu panjang akal untuk 'survive.'

BUKU dan nota antara benda ‘berharga’ buat pelajar yang rosak akibat banjir.
BUKU dan nota antara benda ‘berharga’ buat pelajar yang rosak akibat banjir.

"Pada ketika inilah kita mahu buktikan istiqamah dan usaha itu adalah berterusan," katanya.

Dr Zulfikar mengakui perjalanan pelajar-pelajar ini masih jauh.

"Tapi kalau mereka melihat banjir ini sebagai alasan untuk tidak boleh berjaya, mereka sebenarnya menjadikan semua benda itu adalah alasan.

"Kejayaan tidak perlukan alasan sebaliknya usaha yang berterusan," katanya.

Pengasas dan Pengarah Pengurusan Solidariti Pendidikan (SP) Ida Shahira Muhammad Syarizal, 19, pula berkata, pihaknya kini fokus membantu kelompok pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM yang terkesan akibat banjir.

Kata Ida Shahira, buku atau bahan rujukan antara perkara dipertimbangkan pihaknya dalam membantu pelajar terkesan.

"Dalam inisiatif SP, menerusi bantuan bahan pendidikan #DaruratBanjir, kami mengumpul dermaan bahan pendidikan. Ramai sukarelawan pelajar sendiri turun membantu.

"Untuk bahagian pengagihan, kami bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) '4 The Nation,' 'Teach For Malaysia' dan beberapa individu lain untuk menghantar dermaan terbabit ke sekolah di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan," katanya.

Menurut Ida Shahira, pihaknya juga menyediakan 250 kit pendidikan untuk calon SPM di sekitar Selangor dengan setiap satunya bernilai RM100, yang dibeli menggunakan wang sumbangan dari orang ramai.

"Kami kini menumpukan perhatian di Melaka dan Johor di mana bahan yang diberi berdasarkan permintaan sekolah atau keluarga sendiri.

"Kami harap ini dapat meringankan beban kepada keluarga yang terjejas selain tanda dorongan kepada pelajar supaya 'bangkit' serta fokus menghadapi peperiksaan SPM," katanya.

"Banjir bukan sahaja mempengaruhi persiapan fizikal malah emosi dan mental pelajar memandangkan mereka selain keluarga terkesan dengan bencana banjir dan juga mendukung beban Covid-19 yang menjejaskan pengalaman persekolahan untuk dua tahun lalu," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 6:20 AM