Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Seramai 319 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang terjejas banjir menduduki peperiksaan di empat pusat peperiksaan alternatif (PPA), hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, berkata, calon SPM berkenaan terpaksa menduduki peperiksaan di PPA disebabkan sekolah mereka ditenggelami banjir.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan ke Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai calon SPM yang terbabit dengan penjadualan semula peperiksaan disebabkan dijangkiti Covid-19, Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Paka mengesahkan terdapat calon yang terbabit dengan penjadualan semula yang dijangka April depan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah calon SPM yang dijangkiti Covid-19 dan mempunyai kontak rapat akan diumumkan Lembaga Peperiksaan (LP).

"Setakat ini kita tidak mempunyai maklumat jumlah sebenar calon SPM dari negeri ini yang mempunyai kontak rapat serta dijangkiti Covid-19," katanya.

PELAJAR SMA Mahmudiah, Kuala Berang yang terjejas akibat banjir hadir dengan tidak memakai baju sekolah untuk menduduki SPM di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PELAJAR SMA Mahmudiah, Kuala Berang yang terjejas akibat banjir hadir dengan tidak memakai baju sekolah untuk menduduki SPM di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 10:51 AM