Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke pusat peperiksaan khususnya di Pasir Mas akibat laluan ke sekolah dinaiki air.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang, Pasir Mas di mana ia tidak ditenggelami banjir, namun laluannya masih digenangi air bertakung separas 0.3 meter dan tidak boleh dilalui.

Katanya, bagi memberi keselesaan kepada 141 calon di sekolah berkenaan, pihaknya sudah berhubung dengan Panglima 8 Briged Kem Desa Pahlawan pada petang semalam dan pihak ATM menyediakan dua trak bagi mengangkut pelajar dari jalan utama masuk ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.

"Operasi membantu membawa calon ke pusat peperiksaan ini akan berterusan sehingga air yang bertakung surut dan boleh dilalui oleh pelajar seperti biasa.

"Anggota ATM akan membuat penggiliran untuk mengangkut pelajar sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung bagi memberi keselesaan serta keyakinan kepada calon untuk hadir menduduki peperiksaan, selain tidak mahu keadaan banjir yang berlaku mengganggu emosi mereka.

"Kita mahu pelajar yang menduduki peperiksaan datang dengan pakaian yang bersih dan tidak mahu badan mereka dalam keadaan yang lembap, basah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa," katanya pemberita selepas membuat tinjauan SPM 2021 di SMK Zainab 1, di sini, hari ini.

PELAJAR SMK Zainab 1 membuat pemeriksaan suhu badan ketika hadir menduduki peperiksaan SPM hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PELAJAR SMK Zainab 1 membuat pemeriksaan suhu badan ketika hadir menduduki peperiksaan SPM hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dalam perkembangan yang sama, Pkharuddin berkata, setakat pagi ini terdapat sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Ugama (A) Diniah di Pasir Mas yang dijadikan pusat peperiksaan SPM terpaksa ditutup disebabkan banjir selain suasananya tidak kondusif untuk calon menduduki peperiksaan.

"Di sekolah berkenaan terdapat 19 calon dan ia menjadikan jumlah keseluruhan calon di negeri ini seramai 723 orang membabitkan lapan sekolah di Pasir Mas dan Rantau Panjang yang terpaksa menangguhkan SPM disebabkan terjejas banjir.

"Malah mereka yang menangguhkan SPM disebabkan banjir akan menduduki peperiksaan bersama dengan calon yang disahkan positif Covid-19 dan calon yang menjalani tempoh kuarantin sepanjang tempoh 2 hingga 29 Mac.

"Kesemua calon ini dibenarkan menduduki peperiksaan dalam penjadualan semula yang akan bermula pada 4 hingga 28 April depan.

"Penjadualan semula ini memberi peluang kepada mereka menduduki peperiksaan sama seperti calon yang menduduki peperiksaan di sesi yang pertama ini dan soalannya juga adalah setara dan sama standard seperti yang sesi pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 11:18 AM