AMIN bersama pelajar serta wakil Syarikat FK Millennium  bergambar bersama selepas program berakhir.
AMIN bersama pelajar serta wakil Syarikat FK Millennium bergambar bersama selepas program berakhir.

SEKUMPULAN pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya melengkapkan kerja Kursus Kokurikulum mereka melalui penganjuran program 'Loving Nature With Living Jungle' yang diadakan di universiti itu baru-baru ini.

Program itu membabitkan Kumpulan pertama Kursus Pengurusan Majlis (QKW2109).

Kursus Kokurikulum berkredit Semester Pertama Sesi 2023/2024 pula adalah kerjasama Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, UPM dengan kerjasama Syarikat Living Jungle.

Fasilitator program pengurusan 'Loving Nature With Living Jungle,' Aminudin Ali berkata, seramai 31 pelajar menyertai program selama sehari itu.

Menurutnya, seramai 124 peserta dalam kalangan pelajar dan pengunjung luar menghadiri program di Dewan Termasa, Perpustakaan Sultan Abdul Samad UPM itu.

"Alhamdulillah pelajar mendapat kemahiran keusahawanan dan insaniah yang diterapkan dalam pengajian yang dipilih," katanya.

Menurutnya, program itu bertujuan mengasah bakat pelajar dalam aspek kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, pengurusan, pemasaran dan juga perakaunan.

"Kemahiran berkenaan amat penting dalam membina sebuah organisasi yang proaktif supaya mereka dapat memberi impak dalam menghadapi persaingan modal insan yang semakin mencabar," katanya.

Sementara itu, pengarah program berkenaan, Ahmad Ammar Hakimi Ahmad Nizam berkata, melalui program itu hampir semua peserta dapat mendalami ilmu dalam bidang keusahawanan secara lebih mendalam.

Menurutnya, pihak syarikat Living Jungle berbesar hati menghantar tenaga kerja mereka membantu pelajar mendalami latihan secara lebih intensif

PENGUNJUNG serta pelajar mengambil kesempatan berswafoto ketika program anjuran bersama UPM dan  FK Millennium.
PENGUNJUNG serta pelajar mengambil kesempatan berswafoto ketika program anjuran bersama UPM dan FK Millennium.

"Walaupun program yang diadakan ini bukanlah berteraskan perniagaan secara keseluruhan, ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan sepenuhnya untuk memperoleh keyakinan dan ilmu ketika berdepan dengan pelanggan.

"Menerusi pembabitan pelajar berskala kecil dan bimbingan secara terus wakil dari syarikat, nyata pelajar dapat mendalami latihan keusahawanan serta insaniah secara menyeluruh.

"Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang membabitkan syarikat lain selain Syarikat FK Millennium ini," katanya.

Dia berharap, graduan dapat menggunakan kemahiran diperoleh ketika menempuh dunia luar sekali gus dapat mengaut pendapatan sampingan dan secara tidak langsung konteks keusahawanan ini dapat mengembangkan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 6:30 AM