PELAJAR perlu menjadi pencipta pekerjaan.
PELAJAR perlu menjadi pencipta pekerjaan.
Fazurawati Che Lah

SABAN tahun, institusi pendidikan tinggi (IPT) sama ada di universiti awam mahupun swasta berjaya melahirkan graduan berkualiti tinggi dan memiliki minda kelas pertama selaras dengan pelbagai aspek pengajian yang diterapkan seawal semester pertama.

Beberapa program dan aktiviti dengan elemen kemahiran insaniah menjadi teras kepada kemenjadian insani mahasiswa sebagai benteng pengukuhan dalam diri mereka untuk menghadapi pelbagai bentuk pancaroba alam kerjaya sebaik tamat pengajian.

Bagaimanapun, bukan semua graduan yang merangkul segulung ijazah berpeluang mendapat tawaran kerjaya menepati bidang pengajian mereka.

Ini kerana persaingan sengit perlu mereka lalui

disebabkan lambakan siswazah yang masing-masing mempunyai

bakat dan kebolehan

tersendiri menyebabkan ruang serta peluang bagi mengisi kekosongan di pasaran kerjaya semakin kompetitif.

Mengulas lanjut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Zaliman Sauli berkata, kursus keusahawanan wajar didedahkan kepada pelajar sebagai persediaan sebaik tamat pengajian.

Katanya, bagi mendepani cabaran akan datang, siswazah tidak perlu menumpukan menjadi pencari pekerjaan, sebaliknya menjadi pencipta peluang pekerjaan.

KEPAKARAN dan kemahiran perlu untuk memantapkan perniagaan.
KEPAKARAN dan kemahiran perlu untuk memantapkan perniagaan.

“Pendedahan pengetahuan dalam keusahawanan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta pekerjaan.

“Melihat jumlah pengangguran makin meningkat, bidang keusahawan perlu menjadi keutamaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata, universiti membuka peluang luas kepada pelajar dengan menyediakan khidmat nasihat, latihan dalam perniagaan, premis, kios dan makmal perniagaan.

Katanya, pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menawarkan pendaftaran syarikat secara percuma kepada pelajar bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.

Sehubungan itu, Dr Zaliman berkata, pelbagai usaha dilakukan IPT bagi melengkapkan siswa dengan elemen minda keusahawanan berserta ciri keusahawanan sebagaimana digariskan dalam Lonjakan Pertama, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).

Katanya, UMK umpamanya, menyediakan pelbagai inisiatif pintar bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong budaya keusahawanan di ketiga-tiga kampus melalui sokongan Pengurusan Tertinggi Universiti.

“Antaranya menerusi penubuhan gagasan Syarikat Siswa Universiti (SSU). Melalui usaha murni yang bersifat inovatif ini memberikan galakan positif kepada siswa untuk terbabit dalam bidang perniagaan dan keusahawanan melalui pewujudan Skim 1Pelajar 1Perniagaan.

“Skim ini membuka peluang kepada mereka untuk memupuk bakat dalam bidang keusahawanan, sekali gus menambahkan statistik pembabitan mahasiswa dalam sektor yang cukup bermanfaat ini,” katanya.

Katanya, usaha untuk membangunkan program itu juga dimulai dari peringkat awal sebaik melangkah ke UMK apabila sesi taklimat kepada pelajar baharu dilakukan pada Minggu Mesra Mahasiswa (3M).

Malah UMK turut mewajibkan pelajar mengambil kursus berkenaan tanpa mengira latar belakang program pengajian iaitu kursus Asas Keusahawanan, Gelagat Usahawan, Keusahawanan Korporat dan Keusahawanan Strategik.

PELBAGAI bantuan untuk bantu pelajar menceburi bidang perniagaan.
PELBAGAI bantuan untuk bantu pelajar menceburi bidang perniagaan.

Menurut Dr Zaliman, sebagai sokongan ke atas bidang keusahawanan, universiti menerusi Pusat Keusahawanan UMK (UMKEC) turut menyediakan beberapa latihan keusahawanan yang berstruktur dan pemberian pinjaman mudah menerusi Skim Pinjaman Mikro sebagai persediaan awal.

Katanya, sebagai galakan kepada siswa untuk menubuhkan syarikat, pinjaman RM3,000 sehingga RM5,000 disediakan.

“Tempoh bayaran balik dilanjutkan sehingga maksimum tiga tahun atau sehingga mereka menamatkan pengajian dengan jayanya serta bergelar alumni UMK.

“Kaedah ini terbukti berkesan apabila statistik mendapati pada 2018, 376 SSU berjaya didaftarkan dengan 703 pelajar direkodkan berbanding 335 SSU (632 pelajar) pada 2017,” katanya.

Katanya, UMKEC memainkan peranan penting dan signifikan demi memperkasakan keusahawanan dalam kalangan pelajar, termasuk bertanggungjawab memberikan pendedahan meluas kepada mereka mengenai kaedah dan praktikal.

“Pelajar yang mempunyai minat untuk berniaga akan dibimbing dari segi kaedah memilih produk bersesuaian, strategi pemasaran dan pengamalan sistem pengurusan yang betul dan cekap.

“Pada masa sama pensyarah yang mempunyai kepakaran serta pengalaman luas dalam bidang perniagaan turut memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada pelajar.

“Selain itu, mereka turut diberi panduan bagi mengenal pasti sama ada bidang perniagaan bakal diterokai dan produk yang akan dipasarkan termasuk dalam kategori produk kehendak atau produk keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 8:30 AM