Noor Nabilah Ibrahim


"Semua orang adalah genius, tetapi jika anda menilai seekor ikan pada keupayaannya untuk memanjat pokok, ia akan menjalani seumur hidupnya dengan mempercayai ia bodoh," - Albert Einstein.

Itu antara kata-kata yang dipegang salah seorang Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM), Anis Syahirah Khairul Parman, 23.

Dalam kesibukan menjalankan tugas dalam MPP, beliau tetap cemerlang dari segi akademik apabila berjaya menerima anugerah dekan sebanyak empat kali berturut-turut dalam Pengajian Bahasa Inggeris untuk Profesional di universiti itu.

Anis Syahirah, sudah lama meminati bidang penggunaan Bahasa Inggeris secara profesional kerana beliau percaya bidang itu adalah sesuatu yang diperlukan dan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih tinggi.

"Saya bukan pelajar yang cemerlang dari segi akademik ketika di zaman persekolahan dan apabila masuk universiti baru saya sedar kebolehan diri.

"Di sekolah, kita tidak boleh memilih apa yang kita suka, tapi apabila di universiti, kita boleh pilih bidang yang kita suka. Dari situ kita boleh asah dan latih diri untuk berjaya dalam bidang terbabit," katanya.

Seorang yang mempunyai disiplin dan perasaan ingin tahu yang tinggi, Anis Syahirah juga begitu bijak mengurus masa antara pelajaran dan aktiviti sebagai MPP.

"Saya mengurus masa dengan membuat jadual waktu di mana saya menyenaraikan tarikh akhir untuk setiap tugasan. Hal ini supaya saya dapat merancang masa dan aktiviti dengan lebih awal.

"Walaupun sibuk dengan MPP sekali pun, tanggungjawab utama saya adalah sebagai seorang pelajar dan saya tetap kena dahulukan pelajaran," tambahnya.

ANIS dan rakan-rakan MPP lain sebagai Ahli Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia dalam sebuah Parlimen Mahasiswa.
ANIS dan rakan-rakan MPP lain sebagai Ahli Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia dalam sebuah Parlimen Mahasiswa.

Anak bongsu daripada lima beradik ini menganggap tugas MPP sebagai sebuah landasan untuk meneroka dan menimba pengalaman sepenuhnya sebagai seorang pelajar pemegang ijazah.

"Saya seorang yang tidak boleh duduk diam, apabila saya tidak aktif atau tidak membabitkan diri dalam apa-apa program, saya rasa seperti membazir masa.

"Kita perlu menggunakan peluang yang disediakan universiti dengan sebaiknya kerana kehidupan ketika belajar dan kehidupan ketika bekerja adalah tidak sama," katanya.

Bercita-cita untuk menceburkan diri dalam dunia korporat, Anis Syahirah berkata, tugas beliau dalam MPP terutama sebagai Ketua Exco Jabatan Perhubungan Luar banyak membantu dalam mengasah kemahiran berkomunikasi lebih-lebih lagi dengan orang luar.

"Apabila saya bersosial dan menambah kenalan dengan macam-macam orang terutama mereka yang berlainan latar belakang, minda saya menjadi sangat terbuka, saya dapat berfikir dengan lebih mendalam kerana setiap orang mempunyai pendapat berbeza berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Anis Syahirah turut bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawan anjuran USM antaranya Siswa Kongsi: Santuni Gelandangan, Singgah Sahur: Santuni Siswa, Prihatin Ramadhan dan 'English Zero to Hero Programme.'

ANIS Syahirah seorang yang mempunyai disiplin dan perasaan ingin tahu yang tinggi.
ANIS Syahirah seorang yang mempunyai disiplin dan perasaan ingin tahu yang tinggi.

"Banyak yang saya perlu korbankan apabila menjadi pelajar MPP seperti tidur yang cukup dan masa bersama keluarga.

"Sekarang pun saya perlu menguruskan lima acara dan majlis besar, sangat penat tapi ini apa yang saya mahu dan perlu lakukan untuk mendapat pengalaman yang lebih luas.

"Selalunya apabila berasa lelah, saya akan berhenti melakukan segala perkara yang memenatkan fizikal dan berehat dengan meluangkan masa sendiri seperti menonton Netflix atau meluangkan masa bersama keluarga selama dua tiga hari," tambahnya.

Pernah kecewa kerana tidak dapat menyambung pengajian ke luar negara, Anis Syahirah bagaimanapun, tidak patah semangat dengan menggunakan sehabis baik peluang yang disediakan USM untuk mencapai hasrat menjejak kaki ke luar negara.

Anis Syahirah berkata, pencapaian beliau mewakili USM ke 'Startup International League Competition 2022' dan memperoleh tempat kedua membuka peluang beliau untuk menjejakkan kaki ke Thailand.

"Ada hikmah saya tidak dapat peluang menyambung pengajian ke luar negara. Mungkin jika saya pergi saya tidak cemerlang dalam akademik seperti mana di USM ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 7:00 AM