GHAZALI (tujuh kiri) bersama barisan penceramah bergambar bersama peserta program.
GHAZALI (tujuh kiri) bersama barisan penceramah bergambar bersama peserta program.
Fazurawati Che Lah


GENERASI muda hari ini digalakkan mencipta kehebatan dengan mengambil peluang meneroka ilmu dan meningkatkan keupayaan diri supaya mampu bersaing pada masa depan.

Tidak mempunyai pendedahan berkenaan sastera dan hanya mempunyai latar latar belakang program teknologi serta kejuruteraan mahupun sains, bukan halangan buat mahasiswa melahirkan idea kreatif.

Gabungan sastera dan teknikal mampu memberi kefahaman yang jelas dan mendidik masyarakat menerusi inovasi baharu selain menghasilkan hasil yang lebih menarik.

Bagi pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang juga Timbalan Pengarah Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Ghazali Din, mahasiswa mampu menjadikan bidang penulisan kreatif ini suatu kerjaya pada masa depan yang boleh menjana pendapatan sampingan.

“Penulisan mampu menjadikan mahasiswa mempunyai nilai tambah dalam kepelbagaian kemahiran insaniah hingga melahirkan mahasiswa berbeza berbanding dengan yang lain.

“Kepelbagaian kemahiran ini boleh diteroka menerusi aktiviti penulisan atau lisan termasuk pengucapan awam atau pengacaraan,” katanya.

Katanya, kecemerlangan akademik sahaja bukan ukuran kejayaan dalam menggapai kerjaya yang diinginkan memandangkan universiti melahirkan graduan puluhan ribu setahun.

“Justeru, inovasi dan kreativiti adalah harta bernilai yang boleh dimiliki mahasiswa hari ini.

“Kebanyakan penulis bermula dengan idea kecil dan mereka menulis pada peringkat awal mungkin secara suka-suka dari catatan kecil diari, telefon bimbit malah dalam media sosial,” katanya ketika menyampaikan ceramah Penulisan dan Kerjaya: Meremajakan Idea Untuk Remaja bersempena Wacana Kesusasteraan Remaja dan Karyawan Di Universiti di Universiti Malaysia Pahang (UMP), baru-baru ini.

Tampil sama sebagai penceramah adalah pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Arbaie Sujud yang berkongsi berkenaan kedudukan bahasa dalam sastera yang mempunyai nilai estetika dan aspek keindahan bahasa itu sendiri termasuk pemikiran dan teknik.

Beliau juga menasihatkan supaya mahasiswa mengikuti latihan penulisan untuk mengasah bakat masing-masing.

Dalam wacana itu, Pegawai Penerbitan Kanan UMP, Muhammad Azli Shukri bertindak sebagai moderator.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Penerbit UMP dan Pusat Bahasa Moden (PBM) itu dirasmikan Timbalan Dekan (Akademik) Pusat Bahasa Moden, Abdullah Adnan Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 9:58 AM