PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) menyertai porgram Kursus Asas Robotik dan Data.
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1) menyertai porgram Kursus Asas Robotik dan Data.
PENDIDIKAN STEAM juga boleh membantu mempersiapkan pelajar untuk beberapa kerjaya yang mempunyai tahap permintaan paling tinggi.
PENDIDIKAN STEAM juga boleh membantu mempersiapkan pelajar untuk beberapa kerjaya yang mempunyai tahap permintaan paling tinggi.
HM Digital

PADA hakikatnya, pelajar dan bakal graduan abad ke-21 perlu menguasai kemahiran yang boleh diguna pakai dalam pelbagai bidang.

Pengalaman pendidikan yang terbaik mampu mempersiapkan pelajar untuk menghadapi dunia sebenar, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menyesuaikan diri dalam situasi rumit yang mungkin dihadapi mereka kelak.

Pelajar bukan sahaja perlu diajar berfikir secara kritikal, tetapi juga secara kreatif. Malah, pereka cipta paling hebat dalam sejarah tidak akan dapat mencapai kejayaan yang mengangkat nama mereka tanpa idea di luar kelaziman.

Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Kesenian dan Matematik (STEAM) dilihat mengisi jurang ini untuk menggalakkan pelajar berfikir di luar kepompong pemikiran biasa, lantas mengubah cara mereka melihat dan mengharungi dunia.

Menurut Profesor Madya & Dekan Bersekutu Fakulti Sains dan Kejuruteraan (FOSE), Universiti Nottingham Malaysia (UNM), Profesor Madya Dr Kher Hui @ Marina Ng, bidang pengajian ini juga boleh membantu membina individu yang lebih bersedia menghadapi isu global yang rumit.

FOSE dan FASS, UNM baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar berkenaan STEAM.
FOSE dan FASS, UNM baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar berkenaan STEAM.

"Malah, lebih daripada itu, jika kita mahu bersiap sedia memasuki Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dengan tahap persediaan yang lebih tinggi, kita perlu mengukuhkan usaha untuk membina tenaga kerja mahir dan pendidikan STEAM adalah komponen penting dalam usaha ini.

"Sebagai lanjutan daripada pengajian bertumpukan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), langkah membabitkan bidang kesenian adalah satu usaha untuk mengiktiraf bidang ini sebagai bidang yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan insan, di samping mendidik pelajar mengenai nilai-nilai kreativiti, inovasi dan komunikasi.

"Pendekatan ini juga membabitkan pilihan subjek lebih luas seperti sastera liberal, seni halus, seni persembahan, reka bentuk dan banyak lagi sambil meluaskan perspektif pelajar berkenaan sesuatu masalah dan cara terbaik mencari jalan penyelesaiannya," katanya,

Sementara itu, Fakulti Sains dan Kejuruteraan dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UNM baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar STEAM bersama 500 pelajar sekolah menengah dari 100 sekolah di seluruh Malaysia yang hadir secara fizikal dan maya.

Menurut Profesor Madya & Dekan Bersekutu Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UNM, Dr Joanne Lim Bee Yin, dalam sesi kelas kendalian pakar itu, pihaknya mengupas topik semasa seperti Cabutan Bertuah (Genetik) dan Mencorakkan Masa Depan Anda Menggunakan Percetakan 3D, dan Bagaimana Menjadi Jurupengaruh Sebenar, Membina Portfolio Pelaburan Terpelbagai' dan Bahasa Korea 101 (dan Belajar Bahasa Asing).

"Kelas yang dikendalikan bertujuan mendedahkan kepada anak-anak muda, kemahiran dan ilmu yang perlu ditimba dan diasah untuk menyumbang kepada ekonomi masa depan.

"Di samping itu, kami mahu memberi peluang kepada pelajar muda mempelajari STEAM dan memperkenalkannya semula dengan cara yang interaktif serta menyeronokkan seterusnya membuktikan STEAM tidak sesukar tanggapan ramai," katanya.

Pendidikan STEAM juga boleh membantu mempersiapkan pelajar untuk beberapa kerjaya yang mempunyai tahap permintaan paling tinggi di Malaysia pada tahun ini seperti yang disenaraikan JobStreet termasuk teknologi maklumat (IT), pembangunan perisian, pemasaran digital, kewangan, pembangunan perniagaan, perubatan dan pendidikan.

Menerusi matlamat melahirkan graduan yang sedia untuk menceburi industri, pendedahan kepada STEAM boleh memberikan kelebihan daya saing yang diperlukan untuk membina kerjaya masa depan, dengan permintaan untuk tenaga kerja dalam bidang ini yang terus meningkat dalam tempoh mendatang.

FOSE dan FASS, UNM baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar berkenaan STEAM.
FOSE dan FASS, UNM baru-baru ini menganjurkan kelas kendalian pakar berkenaan STEAM.

Kata Dr Marina Ng, berasaskan kejayaan yang dicapai, kami berharap untuk melihat lebih banyak institusi pendidikan dan pendidik melaksanakan inisiatif mengukuhkan pendidikan STEAM untuk semua.

"Kami juga menyeru ibu bapa dan penjaga untuk mengiktiraf kesan dan manfaat pendidikan STEAM terhadap perkembangan kanak-kanak dari segi akademik dan dari aspek lain.

"Kita terus berbincang berkenaan keperluan dan kepentingan membina tenaga kerja yang mahir, tetapi sesungguhnya kita perlu bermula dengan menjadikan program ini lebih mudah diikuti semua anak muda Malaysia. "Apabila anak-anak kita berkembang maju sebagai individu, kita turut sama berkembang maju sebagai sebuah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 7:00 AM