DR Mohammad Shatar (dua dari kiri) dan Dr Ahmad Faizal (dua dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani. FOTO NSTP
DR Mohammad Shatar (dua dari kiri) dan Dr Ahmad Faizal (dua dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak dan Medical Relief Society (Mercy) Malaysia menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk memperkasakan aktiviti sukarelawan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama yang memfokuskan kepada jaringan antara universiti, industri dengan komuniti bertujuan meningkatkan kemahiran sukarelawan dalam kalangan mahasiswa, sekali gus memberi nilai tambah kepada mereka.

“Kebergantungan mahasiswa kepada kelayakan akademik untuk tujuan kecemerlangan kerjaya kini tidak lagi relevan kerana pihak majikan lebih mengutamakan individu yang mempunyai kemahiran boleh pindah iaitu mempunyai kepelbagaian pengetahuan, nilai dan kemahiran hidup asas yang diperlukan demi mendapatkan dan mengekalkan pekerjaan sedia ada.

“Oleh itu, melalui MoU ini pihak Mercy dapat melatih, memberi pendedahan, pengalaman dan kepakaran kepada ahli sukarelawan UPSI, sekali gus mampu membekalkan mereka dengan kemahiran bertaraf nasional dan antarabangsa,” katanya di majlis menandatangani memorandum yang diadakan di Bitarasiswa, Upsi, baru-baru ini.

MoU ditandatangani Dr Mohammad Shatar dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Hadir sama, Pendaftar Upsi, Dr Zainab Othman; Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Amran Mahzan dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Profesor Madya Norkhalid Salimin.

DR Mohammad Shatar dan Dr Ahmad Faizal bersama wakil UPSI dan Mercy yang hadir pada majlis MoU. FOTO NSTP
DR Mohammad Shatar dan Dr Ahmad Faizal bersama wakil UPSI dan Mercy yang hadir pada majlis MoU. FOTO NSTP

Dr Mohammad Shatar berkata, Upsi menggalakkan setiap pelajar memperuntukkan selama 80 jam sepanjang tempoh pengajian untuk aktiviti sukarelawan.

“Setiap aktiviti dan pembabitan mereka akan direkodkan dalam buku log yang kemudian boleh digunakan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Selain itu, dalam konteks Upsi yang mengeluarkan 70 peratus graduan dalam profesion perguruan, saya yakin dapat membantu negara melahirkan masyarakat yang mempunyai elemen dan membudayakan aktiviti ini seperti yang berlaku di negara maju antaranya Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu penting kerana apabila graduan mendapat penempatan kelak, mereka dapat berkongsi ilmu dan kemahiran yang dipelajari kepada pelajar di sekolah sekali gus membentuk pelajar yang mempunyai jiwa sukarelawan.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama membabitkan kerja misi kemanusiaan di dalam dan luar negara, pelaksanaan program pendidikan bagi kursus kokurikulum, intensif latihan bersama dalam persediaan bencana, penggunaan fasiliti dan bantuan logistik serta pelbagai bidang lain yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:28 AM