AKTIVITI merangkak yang meningkatkan kemahiran motor anak istimewa.
AKTIVITI merangkak yang meningkatkan kemahiran motor anak istimewa.
Oleh Fazurawati Che Lah


PESTA konvokesyen yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), baru-baru, ini tidak hanya diisi dengan aktiviti meraikan graduan, malah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) membawa anak istimewa mengikuti program Pendidikan Khas bagi memberikan keceriaan untuk kanak-kanak itu.

Seramai 48 peserta mengikuti program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Pusat Nasional Yayasan Down Syndrome Kiwanis itu.

Pelbagai aktiviti berkaitan kemahiran motor dan awalan akademik diadakan bersama anak istimewa itu.

Ketua projek, Muhammad Syahmi Md Nasir, berkata kanak-kanak sindrom Down dan autisme dibawa mengikuti program itu bagi mendedahkan mereka dengan masyarakat.

Katanya, pelbagai aktiviti dijalankan bersama anak istimewa bagi mengasah kemahiran motor kasar dan halus mereka.

“Matlamat program ini adalah untuk mengeratkan ukhuwah antara anak istimewa dengan masyarakat.

SEBAHAGIAN anak istimewa yang mengikuti program pendidikan khas.
SEBAHAGIAN anak istimewa yang mengikuti program pendidikan khas.

“Mereka didedahkan untuk beramah mesra dengan orang lain, sekali gus memberi kesedaran kepada komuniti untuk membantu anak istimewa,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan bersama ialah zumba, menangkap bola, membaling bola dan memadankan warna.

Aktiviti berkenaan adalah gabungan kemahiran motor kasar dan awalan akademik.

Selain itu, aktiviti merangkak dan memadankan bentuk pula membabitkan gabungan kemahiran motor kasar serta halus.

Muhammad Syahmi berkata,semua aktiviti itu memberi pengetahuan kepada masyarakat luar berkenaan ciri anak istimewa sindrom Down dan autisme.

Katanya, masih terdapat segelintir masyarakat yang belum mengenal pasti kebolehan anak istimewa itu.

“Sedangkan anak ini boleh dilatih untuk meningkatkan keupayaan kemahiran motor, sekali gus membentuk kebolehan

masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:33 AM