JALANI LI dengan cemerlang.
JALANI LI dengan cemerlang.
Fazurawati Che Lah


BERMULA bulan ini, mahasiswa yang menjalani latihan praktikal di badan kerajaan menerima elaun RM900 setiap bulan.

Rabu lalu pula, Jemaah Menteri memperuntukkan dana tambahan RM10 juta bagi bayaran elaun kepada penuntut universiti yang menjalani latihan praktikal di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Peruntukan itu juga bagi membolehkan sektor awam terus memberikan latihan praktikal kepada pelatih selain menjaga kebajikan mereka.

Keseriusan itu juga untuk memastikan latihan yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran kerja terus diberikan kepada anak muda sebagai bakal pelapis pemimpin negara.

Sudah pasti pelaksanaan elaun itu memberikan kebahagiaan kepada penuntut kerana sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan sepanjang tiga atau empat bulan mengikuti latihan praktikal.

Penuntut Kolej Universiti Poly Tech MARA (KUPTM), Kuala Lumpur, Amanina Nazri, 23, berkata, dia yang mengikuti latihan industri (LI) di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, awal bulan ini menyifatkan kenaikan elaun itu satu penghargaan kepada mahasiswa.

Katanya, selama tiga minggu menjalani latihan amali itu, dia sudah menghabiskan hampir RM500 untuk perbelanjaan harian dan bilik sewa.

“Saya belum menerima elaun kerana belum cukup sebulan mengikuti LI, apapun saya bersyukur kerana sedikit sebanyak elaun itu membantu meringankan perbelanjaan saya selama tiga bulan ini.

“Apabila dengar elaun RM900 ini, ia menaikkan semangat saya untuk tampil cemerlang kerana keprihatinan kerajaan itu menandakan kerja amali yang dilaksanakan penuntut dihargai,” katanya.

Amanina yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni dalam Pengajian Bahasa Inggeris Gunaan berkata, bagi menampung perbelanjaan, ibu bapanya turut membantu daripada segi kewangan.

PENUNTUT yang menjalani LI sentiasa berkomunikasi dengan staf.
PENUNTUT yang menjalani LI sentiasa berkomunikasi dengan staf.

“Saya memilih untuk tinggal di asrama UPM dengan sewa RM150 sebulan kerana bilik sewa sedia ada di Cheras menyukarkan saya untuk berulang-alik sepanjang latihan amali ini.

“Saya jarang ke kafe pada waktu makan tengah hari kerana kakitangan di jabatan saya ditempatkan selalu membawa makanan untuk dikongsi bersama, sekali gus membolehkan saya berjimat RM10 hingga RM20 sehari untuk makan,” katanya.

Amanina memberitahu, dia yang ditempatkan di bahagian komunikasi korporat menjalankan pemantauan berita, terjemahan dan menulis berita.

“Banyak yang saya belajar sepanjang tiga minggu ini dan paling menggembirakan, saya turut terbabit dengan kerja luar. Saya dapat pelajari banyak ilmu dan alami sendiri bagaimana situasi bekerja dalam bidang komunikasi,” kata anak kelahiran Kuantan, Pahang.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam, Selangor, Syakirah Azhar, 22, berkata, dia melakukan kerja sambilan sebagai jurufoto untuk pelbagai acara bagi menampung perbelanjaan sepanjang latihan praktikal selama tiga bulan.

“Saya dimaklumkan syarikat yang mengambil saya LI memberi elaun RM300 sebulan. Jadi, untuk tidak menyusahkan ibu dan ayah, saya membuat kerja mengambil gambar di pelbagai majlis.

“Saya kumpul wang itu untuk digunakan sepanjang latihan amali. Saya tahu banyak perbelanjaan yang akan dikeluarkan kerana skop kerja memerlukan saya sentiasa berada di luar,” katanya yang mengikuti LI di salah satu syarikat penerbitan akhbar swasta di ibu kota.

Katanya, biarpun menerima elaun sedikit berbanding syarikat lain, apa yang penting baginya adalah pengalaman dan kepercayaan yang diberikan majikan untuk dia menjalankan kerja mengambil gambar sama seperti staf lain.

SUASANA sihat di pejabat membantu penuntut jalani LI dengan cemerlang.
SUASANA sihat di pejabat membantu penuntut jalani LI dengan cemerlang.

“Pengalaman yang saya dapat sangat berbaloi walaupun elaun tidak seberapa ditambah pula majikan melayan saya dengan baik. Jurufoto senior juga banyak membantu sehingga saya rasa sayang hendak menghabiskan latihan praktikal ini.

“Saya rasa tempoh tiga bulan tidak cukup untuk penuntut menjalani latihan praktikal. Mungkin boleh ditambah menjadi empat atau lima bulan supaya kemahiran industri dapat ditambah dan difahami,” katanya.

Bagi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Izzuddin Rosli, 21, mahasiswa perlu menjadikan kenaikan elaun itu sebagai pemangkin untuk menjalani LI dengan cemerlang dan bukan sekadar memenuhi syarat untuk bergraduat.

“Diharapkan kenaikan elaun itu tidak menjadikan penuntut bekerja sambil lewa sebaliknya memanfaatkan ilmu yang diberikan majikan. Ini masanya untuk penuntut mengutip kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.

“Tambahan pula, ada sesetengah syarikat akan menyerap penuntut sebagai pekerja tetap di selepas tamat tempoh latihan praktikal,” katanya yang juga penuntut Sarjana Muda Pertanian.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Mohd Irfandi Arifin, 23, berkata, kenaikan elaun daripada RM300 kepada RM900 disifatkan sangat membantu khususnya bagi penuntut yang berada dalam kelompok keluarga B40 dan bergantung kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Dia yang bakal mengikuti LI tidak lama lagi berharap kenaikan elaun latihan praktikal tidak menyebabkan kerajaan mengehadkan pengambilan penuntut.

“Cuma saya bimbang kenaikan elaun ini menyebabkan penuntut menghadapi kesukaran mencari tempat LI kerana syarikat atau agensi kerajaan mengehadkan kuota pengambilan pelajar.

“Saya juga berharap agensi swasta melakukan perkara sama bagi menjamin kebajikan penuntut. Andai kata agensi swasta tidak dapat menetapkan elaun RM900, mungkin mereka sekurang-kurangnya membantu untuk menyediakan kemudahan asrama kepada pelajar LI yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 9:21 AM