KHAIRUL Shazile bersama ibunya di gerai jualan betik keluarga mereka.
KHAIRUL Shazile bersama ibunya di gerai jualan betik keluarga mereka.
Hidayatidayu Razali

BETIK antara buah-buahan tempatan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Harganya juga stabil menjadikan ia antara tanaman yang berbaloi untuk diusahakan.

Bermula sekadar suka-suka bekas kontraktor, Mohaed Omar, 67, kini mampu bangga kerana tanaman betik yang diusahakan di Kampung Lepah, Selising, Pasir Puteh, Kelantan berkembang.

Mohaed berkata, siapa sangka aktiviti bertani untuk mengisi masa lapang ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya 30 pokok betik itu berkembang kepada 2,500 pokok.

Katanya, dia memilih betik varieti Callina yang benihnya diperoleh secara dalam talian dari Institut Pertanian Bogor, Indonesia.

"Biji benih dibeli terus dari sana kerana ia berkualiti, tulen dan dapat menghasilkan buah seperti yang dimahukan.

"Betik Callina menjadi pilihan kerana melihat buah jenis ini masih kurang di pasaran meskipun permintaan tinggi dan harganya juga stabil," katanya.

Menurut Mohaed lagi, pada awalnya hasil betik yang dituai tidak dijual sebaliknya ia diagihkan kepada jiran tetangga serta saudara-mara sahaja. Dari situ dia mendapat reaksi positif kerana buah yang dihasilkan manis dan berkualiti.

Susulan itu, dia menambahkan bilangan kepada 500 pokok (pada fasa kedua), 1,500 pokok fasa ketiga dan terkini sebanyak 2,500 pokok bagi fasa keempat.

"Tanaman fasa keempat sudah mula dipetik bermula November tahun lalu dan dijangka dapat terus mengutip hasil dalam tempoh dua tahun ini.

"Dianggarkan, setiap bulan ia dapat menghasilkan 15 hingga 20 tan buah untuk dijual di gerai yang dibuka berdekatan kebun," katanya.

MOHAED menunjukkan betik yang diusahakannya.
MOHAED menunjukkan betik yang diusahakannya.

Mohaed berkata, tanaman betik itu diusahakan di atas tanah seluas 1.6 hektar yang disewa daripada penduduk kampung dengan modal sebanyak RM80,000 termasuk kos untuk membuat batas, sistem pengairan, pembelian biji benih dan sebagainya.

Bapa tujuh anak itu berkata, pertanian adalah bidang baharu yang diceburi selepas menjadi kontraktor selama 33 tahun.

Jelas Mohaed, penjagaan pokok betik agak rumit kerana ia terdedah dengan penyakit apabila hujan berpanjangan.

Antara penyakit yang kerap menjangkiti pokok betik ialah kulat, daun menjadi kuning dan akar mereput kerana lebihan air.

Katanya, perkara itu menyebabkan pengeluaran buah kurang bermutu dan tidak lebat.

"Jika cuaca panas dan kering, isi serta kualiti buah menjadi lebih baik, namun ia tetap memerlukan air yang cukup.

"Tanaman ini juga memerlukan modal besar, tetapi ia tidak sesekali mematahkan semangat untuk mengusahakannya.

"Justeru, bagi memastikan betik yang ditanam dapat menghasilkan kualiti yang diharapkan, saya menuntut 'ilmu' dengan rakan-rakan pekebun lain, pegawai penyelidik pertanian dan eksekutif jualan baja bagi mencegah kawalan penyakit," katanya.

Mohaed berkata, semua mereka tidak lokek dan sentiasa bersedia berkongsi ilmu bagi memastikannya dapat mengusahakan tanaman itu sehingga berjaya.

Katanya, untuk mengusahakan tanaman seperti betik, seseorang itu tidak boleh gopoh dan lakukan dari satu tahap ke tahap yang lain selain jangan malas untuk mencari ilmu tanaman.

"Untuk memastikan tanaman ini tidak dijangkiti penyakit, ia juga perlu diracun dengan racun serangga untuk tempoh ditetapkan.

"Kerja di kebun betik kini menjadi lebih mudah apabila anak keempat, Khairul Shazile, 37 serta dua pekerja turut sama membantu," katanya yang merancang menambah bilangan pokok betik atas tanah seluas 1.6 hektar tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:20 AM