ABDUL Halim menunjukkan pokok strawberi yang mulai berbuah. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar
ABDUL Halim menunjukkan pokok strawberi yang mulai berbuah. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar
Syed Ismail Syed Abu Bakar


Berbekalkan pelbagai teknologi penanaman sempurna khususnya kepakaran daripada Jabatan Pertanian membuktikan pokok strawberi kini mampu ditanam di kawasan bertanah rendah dan bukan lagi terhad di Cameron Highlands sahaja.

Malah, kesabaran dan tidak mudah putus asa mendorong pesara, Abdul Halim Mohammad, 57, mengusahakan tanaman strawberi di Kampung Jalan Teluk Ipil, Nibong Tebal.

Beliau yang pernah menjawat Penolong Pegawai Pertanian mempunyai kelebihan ketika menjalankan pelbagai kajian daripada bidang berkaitan khususnya dalam penanaman strawberi.

Abdul Halim memulakan projek tanaman strawberi pada Disember 2015 yang pada peringkat awalnya secara suka-suka, tetapi kini ia mula menunjukkan potensi besar dalam kalangan pengemar buah berkenaan.

“Saya mengeluarkan modal RM10,000 untuk menyediakan benih, peralatan serta membina rak dan kini mampu menghasilkan antara 1,000 hingga 1,200 pasu pokok strawberi.

“Tanaman strawberi ini diusahakan bersebelahan dengan rumah dan ia agak sensitif serta menerima sinar matahari lebih kurang enam hingga lapan jam sehari,” katanya.

Abdul Halim berkata, tanaman strawberi perlu menerima bekalan air secukupnya bagi membantu mengurangkan kerosakan pada daun dalam proses tumbesarannya.

ABDUL Halim sedang memeriksa pokok buah strawberi yang ditanam berhampiran rumahnnya. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar
ABDUL Halim sedang memeriksa pokok buah strawberi yang ditanam berhampiran rumahnnya. FOTO Syed Ismail Syed Abu Bakar

Beliau berkata, tanaman strawberi mulai bertambah dengan munculnya sulur dan dari ujung sulur itu akan tumbuh tanaman strawberi baru dari akarnya yang dimasukkan di dalam pasu kecil.

“Tanaman strawberi akan mulai berbunga dan berubah menjadi buah dalam tempoh tiga bulan sekali gus boleh memetik buah yang sudah matang.

“Antara spesies ditanam termasuk jenis festival, Carmorosa dan K Pop iaitu benih yang diperoleh daripada Korea Selatan dan amat digemari orang ramai,” katanya.

Abdul Halim berkata, buah strawberi berwarna merah dengan bintik-bintik kuning kelihatan menawan dan walaupun tidak semua jenis strawberi manis, tetapi ramai yang tetap menyukainya.

Beliau berkata, selain boleh dimakan begitu saja serta mempunyai aroma dan rasa sedap, ia turut digunakan sebagai perasa tambahan dalam makanan dan minuman, selain turut digunakan dalam menangani pelbagai penyakit seperti kanser, angin ahmar dan mampu memulihkan proses penuaan.

“Hasil strawberi saya terus mendapat perhatian pelanggan termasuk dari Selangor dan Perlis untuk mendapatkan bekalan dijual pada harga RM20 bagi pasu kecil.

“Alhamdulillah, hasil jualan pokok strawberi ini mampu menjana pendapatan sampingan dianggarkan kira-kira RM3,000 sebulan dan saya puas melihat kejayaan ini selepas beberapa tahun mencubanya,” katanya.

Selain mengusahakan tanaman strawberi, Abdul Halim turut mengusahakan madu kelulut asli yang turut mendapat sambutan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 11:21 AM