MAKANAN ternakan ayam ialah jagung dan soya.
MAKANAN ternakan ayam ialah jagung dan soya.
Nor Asyikin Mat Hayin


TERDAPAT lima cabaran dalam industri pengeluaran makanan di Malaysia yang boleh menjejaskan sekuriti dan keterjaminan makanan di negara ini.

Pakar Pertanian dan Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datuk Dr Zulkifli Idrus berkata, cabaran pertama ialah makanan ternakan kerana 80 peratus makanan ternakan ayam daripada jagung dan soya.

Menurutnya, makanan itu diimport dari beberapa negara kerana Malaysia tidak mengeluarkan produk berkenaan.

"Di Malaysia ada tanam jagung bijirin di Chuping, Perlis tetapi tidak mencukupi untuk tmpung permintaan industri ternakan ayam yang besar di negara ini.

"Dalam pembentangan di UPM baru-baru ini, saya beri cadangan pertimbangkan penggunaan isirung kelapa sawit sebagai sumber makanan ayam.

"Ini ekoran Malaysia mempunyai banyak isirung kelapa sawit, tetapi dieksport ke luar negara.

"Namun, pemain industri ternakan ayam dilihat kurang berminat menggunakan bahan ini kecuali apabila harga jagung dalam pasaran melonjak tinggi," katanya.

Dr Zulkifli berkata, cabaran kedua tanah pertanian yang mana hanya sejuta daripada lapan juta hektar tanah pertanian dikhususkan untuk pengeluaran makanan merangkumi padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan.

MAKANAN ternakan turut mengandungi antibiotik untuk mempercepatkan tumbesaran.
MAKANAN ternakan turut mengandungi antibiotik untuk mempercepatkan tumbesaran.

Katanya, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan permintaan terhadap produk haiwan di negara ini semakin meningkat.

"Saya turut beri cadangan pelaksanaan integrasi tanaman sawit dan ternakan lembu daging.

"Ini bukan pendekatan baharu dan pada peringkat awalnya, ramai peladang berminat melaksanakan kaedah itu, tetapi lama-kelamaan tiada sambutan. Ini kerana peladang kurang mahir dalam pengurusan dan amalan pembiakan lembu pedaging," katanya.

Jelasnya, untuk keterjaminan makanan, maka perlu ada polisi menetapkan peratusan ladang sawit yang perlu digunakan untuk integrasi ternakan lembu.

"Dalam ladang sawit ada banyak tumbuhan yang boleh menjadi makanan ternakan lembu dan menjadi sistem ternakan praktikal.

"Melalui cara ini boleh menghasilkan banyak ternakan lembu daging dan mengukuhkan keterjaminan dan sekuriti makanan," katanya.

Dr Zulkifli berkata, cabaran ketiga ialah pencemaran alam sekitar memandangkan 8,000 tan sisa buangan ternakan dihasilkan setiap hari di negara ini.

SISA buangan ternakan mencemarkan sungai dan alam sekitar.
SISA buangan ternakan mencemarkan sungai dan alam sekitar.

"Sisa buangan ini perlu diurus dengan baik kerana jika dibuang terus ke sungai akan mencemarkan sumber air dan alam sekitar.

"Malaysia belum mengamalkan sistem ternakan lestari sepenuhnya kerana masih ada penternak tidak mematuhi garis panduan pengurusan sisa buangan," katanya.

Tambahnya, cabaran keempat pula berkaitan keselamatan makanan kerana dalam makanan ternakan mengandungi banyak antibiotik.

"Haiwan ternakan tidak sakit, tetapi diberikan antibiotik dalam makanan pada kadar rendah bertujuan untuk mempercepatkan tumbesaran.

"Tindakan ini boleh menyebabkan bakteria dalam haiwan menjadi kebal.

"Apabila manusia dijangkiti bakteria ini, maka antibiotik diambil bagi merawat bakteria itu tidak berkesan kerana berlaku kerintangan antibiotik," katanya.

Oleh itu katanya, pelaksanaan undang-undang ketat perlu dilakukan bagi mengharamkan penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan, kecuali kepada ternakan yang sakit.

Katanya lagi, cabaran kelima adalah penyakit zoonotik yang mana penyakit haiwan ternakan boleh menjangkiti manusia.

"Sebagai contoh virus nipah daripada haiwan yang disebarkan kepada manusia menyebabkan lebih 100 kematian pada 1998.

"Penternak perlu sentiasa berwaspada kerana penyakit zoonotik berlaku tanpa dijangka dan merbahaya kepada manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 6:30 AM