AHMAD Irham memetik cili merah di kebun tanaman cili besar di Dengkil. FOTO Bernama
AHMAD Irham memetik cili merah di kebun tanaman cili besar di Dengkil. FOTO Bernama
BERNAMA

Dengkil: Melihat susuk tubuh seorang lelaki yang cekap mengutip satu persatu rimbunan cili merah di sebuah kebun seluas satu ekar di sini, pasti ramai tidak menyangka beliau adalah bekas jurugambar sebuah akhbar terkemuka tempatan.

Memilih kerjaya sebagai usahawan tani selepas berhenti kerja apabila pihak syarikat membuat keputusan mengecilkan saiz pekerja pada Mac lalu, Ahmad Irham Mohd Noor, 39, tidak mengambil masa yang lama untuk memulakan rancangannya mengusahakan tanaman cili besar secara fertigasi.

"Apabila syarikat mengumumkan, saya rasa inilah masanya untuk saya menceburi bidang pertanian sebab minat sudah lama ada, tetapi hendak bahagi masa antara kerja dengan tanam cili agak susah," katanya kepada Bernama.

Mengakui agak bimbang dengan risiko tanaman tidak menjadi atau hasil tidak boleh dijual, Ahmad Irham berkata, beliau tetap nekad menggunakan wang pampasan daripada syarikat sebagai modal untuk menceburi bidang itu walaupun jauh berbeza dengan kepakarannya.

"Saya juga terfikir dengan berbekalkan tanaman cili ini, bolehkah saya hidup dan menyara keluarga? Ditambah lagi dengan masalah pandemik Covid-19, banyak perkara perlu difikirkan termasuk cara hendak memasarkan hasil kebun," katanya.

Bagaimanapun, setiap bidang pekerjaan mempunyai risiko tersendiri dan berbekalkan usaha gigih serta persediaan yang rapi, cabaran itu pasti dapat diatasi, katanya.

AHMAD Irham  menolak kereta sorong berisi cili merah yang dipetiknya di kebun. FOTO Bernama
AHMAD Irham menolak kereta sorong berisi cili merah yang dipetiknya di kebun. FOTO Bernama

Kursus pertanian

Menyedari tiada pengalaman dalam bidang pertanian, Ahmad Irham berkata beliau mengikuti kursus dikelolakan Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat bagi menimba pengetahuan mengenai pengendalian cili fertigasi.

"Banyak ilmu saya peroleh antaranya cara bancuh baja mengikut kadar pH yang sesuai, semaian biji benih, kawalan perosak dan sistem fertigasi seperti pam dan paip.

"Selepas enam kali kursus, barulah saya yakin untuk memulakan tanaman ini," katanya.

Ahmad Irham berkata, kursus-kursus sedemikian amat penting bagi mereka yang baharu hendak berjinak-jinak dalam bidang pertanian bagi memastikan tanaman mengeluarkan hasil yang baik.

"Selain itu, belajar buat dalam skala kecil dahulu. Ada orang terus nak buat besar-besaran sebab ada modal besar, tetapi saya mula dengan tanah seluas satu ekar dengan 2,000 polibag dahulu untuk lihat hasilnya," katanya.

AHLI keluarga turut membantu memetik cili. FOTO Bernama
AHLI keluarga turut membantu memetik cili. FOTO Bernama

Pilih cili besar berbanding tanaman lain

Ahmad Irham berkata, beliau memilih cili besar berikutan permintaan tinggi di pasaran selain lebih mudah dijaga berbanding tanaman lain.

Beliau berkata, harga ladang sayuran jenis berbuah itu juga sentiasa stabil dengan gred A pernah mencecah sehingga RM18 sekilogram, manakala gred B tidak pernah turun bawah RM6 sekilogram.

"Ketika musim hujan ini, permintaan lebih tinggi. Saya seronok setiap kali pergi hantar bekalan sebab belum sempat parking kereta, peraih sudah berebut hendak buka bonet kereta ambil stok cili," katanya sambil ketawa.

Dari segi modal, beliau membelanjakan kira-kira RM45,000 bagi keseluruhan kos peralatan sistem fertigasi untuk 2,000 polibag termasuk paip, tiang besi sokongan pokok, sistem pam air, pembinaan stor, rumah semaian dan tandas serta air, elektrik dan upah pekerja.

Kerja-kerja meratakan tanah dan memasang sistem fertigasi di kebun yang disewa secara pajak selama lima tahun itu dimulakan pada Julai lepas sebelum menyemai benih pokok pada 16 Ogos, 2020.

KEBUN tanaman cili besar secara fertigasi yang diusahakan Ahmad Irham. FOTO Bernama
KEBUN tanaman cili besar secara fertigasi yang diusahakan Ahmad Irham. FOTO Bernama

"Saya mula petik hasil pada 12 Nov dan berpuas hati setakat ini kerana dapat mengikut jadual seperti yang ditunjukkan semasa saya mengikuti kursus.

"Dalam setahun ada dua kitaran tanaman, maksudnya setiap kitaran adalah enam bulan sebelum pokok baharu ditanam semula," jelasnya.

Ahmad Irham berkata, dalam tempoh lima bulan selepas proses semaian, beliau telah menuai hampir dua tan hasil cili besar yang dipasarkan melalui PPK kepada pemborong setempat serta restoran-restoran berdekatan.

Beliau berkata, lazimnya penanaman cili menggunakan sistem fertigasi mampu membuahkan hasil sehingga 2kg bagi setiap polibag dalam satu kitaran tanaman iaitu empat tan metrik bagi 2,000 polibag.

"Tetapi kalau tanaman dijaga dengan baik tanpa serangan serangga atau hama, boleh dapat antara 2kg hingga 6kg setiap satu polibag sampai keluar gred C (kecil), sebelum kita tanam pokok baharu," katanya.

AHMAD IRHAM memetik cili merah di kebun yang diusahakannya di Dengkil. FOTO Bernama
AHMAD IRHAM memetik cili merah di kebun yang diusahakannya di Dengkil. FOTO Bernama

Perancangan masa hadapan

Berhubung perancangan masa hadapan, Ahmad Irham berkata, beliau menyasarkan untuk membuka satu atau dua lagi kebun di sekitar Selangor sebelum melebarkan sayap ke kampungnya sendiri di Machang, Kelantan.

"Jika ada dua atau tiga kebun, dalam tempoh tiga bulan dari tempoh semai benih sampai kutip hasil, kita boleh dapatkan hasil dari kebun lain, maknanya pendapatan kita berterusan. Cuma saya perlu memikirkan untuk cari pekerja tambahan," katanya.

AHMAD Irham dibantu isteri Azlimi dan anaknya Aiman (kanan) dan Adam Irsyad melakukan pengredan cili. FOTO Bernama
AHMAD Irham dibantu isteri Azlimi dan anaknya Aiman (kanan) dan Adam Irsyad melakukan pengredan cili. FOTO Bernama

Buat masa ini, beliau dibantu oleh isterinya Azlimi Ayub@Abdullah, 39, dan dua anaknya Aiman Irfan, 14, dan Adam Irsyad, 10, ketika cuti hujung minggu dan cuti sekolah.

"Kawan-kawan juga ada yang datang membantu memetik cili apabila cuti hujung minggu bagi merasa pengalaman menjadi petani walaupun sekejap," katanya secara berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 12:47 PM