AIR mengandungi bahan semula jadi dan baja khas menjadi sebahagian proses ternakan kutu air higenik diusahakan Mohamad Faez serta Nurul Azwa.
AIR mengandungi bahan semula jadi dan baja khas menjadi sebahagian proses ternakan kutu air higenik diusahakan Mohamad Faez serta Nurul Azwa.
Mohd Amin Jalil


MINAT mendalam dalam bidang akuakultur mendorong sepasang suami isteri meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah untuk membabitkan diri dalam perternakan kutu air (moina) higenik sehingga menjadi pembekal utama di negara ini.

Pada mulanya, pasangan Mohamad Faez Saharudin dan Nurul Azwa Abdul Rahman, masing-masing berusia 37 tahun, sekadar menjual ikan pelaga atau nama saintifiknya Betta splendens secara kecil-kecilan.

Namun, atas keinginan tinggi untuk berjaya, bekas pensyarah sebuah kolej kemahiran swasta di Melaka itu mula mengorak langkah dan kini menjadi pembekal utama makanan hidup atau kutu air higenik serta ikan laga.

Sambutan yang diterima begitu menggalakkan hingga pasangan itu tidak cukup tangan untuk membekalkan kutu air higenik yang diternak sendiri secara komersial.

Mohamad Faez berkata, kutu air adalah elemen paling utama dalam industri akuakultur, khususnya bagi industri hatceri untuk penghasilan benih ikan dan udang yang berkualiti serta sihat.

Kata Mohames Faez, kebiasaannya pengusaha ikan pelaga mendapatkan bekalan kutu air hidup seperti Moina sp diperoleh dari sumber yang kotor seperti loji kumbahan atau longkang tercemar.

"Keadaan itu bukan saja boleh menjejaskan tahap kesihatan, ikan

tetapi juga boleh memberi kesan kepada kesihatan pengusaha itu sendiri.

"Isu kos makanan hidup import yang semakin mahal seperti Artemia spp menyebabkan kos operasi hatceri semakin meningkat.

MOHAMAD Faez dan Nurul Azwa menunjukkan sebahagian bahan semula jadi yang digunakan bagi proses menternak kutu air higenik.
MOHAMAD Faez dan Nurul Azwa menunjukkan sebahagian bahan semula jadi yang digunakan bagi proses menternak kutu air higenik.

"Menyedari hakikat itu, kami mengambil peluang membangunkan perusahaan kutu air secara higenik dan mengkormersialkan secara aktif mulai 2018," katanya ketika ditemui di pusat penternakan kutu air NS Betta miliknya, di Kampung Kayu Ara Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut Mohamad Faez, pengetahuan mengenai teknologi ternakan kutu air secara intensif dan higenik diperoleh selepas mengikuti kursus jangka pendek di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Glami Lemi, Jelebu, Negeri Sembilan.

Lulusan bidang mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ini berkata, pihaknya turut membuat beberapa kajian sebelum berjaya menghasilkan kutu air yang dikeluarkan sekarang.

Katanya, kajian itu untuk memastikan produk dikeluarkan benar-benar berkualiti dan tidak memberi kesan sampingan bukan sahaja kepada ikan laga, tetapi juga pengusaha.

"Kami juga mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) terutama khidmat nasihat dan kepakaran," katanya yang memulakan projek kutu air itu pada 2018.

Jelas Mohamed Faez, setakat ini pihaknya berjaya mengeluarkan tiga jenis kutu air iaitu Moina sp, Moina Thai dan Daphnia Magna selain turut mempertingkatkan lagi perusahaan ikan laga.

Usahawan berasal dari Perak ini berkata, sekarang pihaknya memiliki 25 tangki ternakan kutu air higenik dengan tempoh menuai mengambil masa dua minggu secara pusingan.

Kata Mohamad Faez, setiap tangki mampu menghasilkan 500 gram (g) kutu air higenik dan setiap bulan boleh mengeluarkan sekitar 15 kilogram

dengan harga yang dipasarkannya RM5 bagi setiap 10g.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:19 AM